Kassim, 15, menjemput sahabat-sahabat ke rumahnya. Rumah Kassim selalu berselerak dan tidak teratur. Tapi kerana sahabat-sahabatnya ingin datang, Kassim meminta ibunya untuk mengemaskan rumah supaya dia tidak perlu berasa malu dengan keadaan rumahnya.
“Sim, yang paling penting ialah kebersihan tandas. Sim bersihkan tandas, mak bersihkan ruang tamu, lap lantai dan sediakan makanan,” kata ibu Kassim.
Terdengar kata-kata maknya, Kassim berang.
“Mak. Mereka sudah nak sampai. Nanti mereka lihat Sim cuci tandas, malulah Sim. Sim pelajar paling tinggi ilmu antara mereka, kalau mereka nampak Sim cuci tandas, malulah Sim,” kata Kassim.
Mendengar Kassim memuji dirinya “tinggi ilmu” membuatkan ibu Kassim sedih dan geram. Ibunya ingin menyedarkan Kassim mengenai kesombongannya. Ibunya bimbang Kassim, yang selalu menerima pujian di sekolah atas kecemerlangan lemas sehingga melupakan perkara yang asas iaitu merendah diri.
“Sim kata Sim tinggi ilmu. Mak nak bertanya pada Sim, di luar sana, Sim bayar berapa untuk gunakan tandas?” tanya ibu Kassim.
“30 sen untuk buang air, 50 sen untuk mandi,” jawab Kassim dengan angkuh.
“Bersih tak, tandas di luar sana walau dibayar?” tanya ibu Kassim lagi.
“Biasanya berbau dan kotor. Ada kesan jijik di mangkuk tandas. Tapi biasalah tandas awam,” jawab Kassim sambil menyindir.
“Agak-agaknya mengapa tandas yang perlu dibayar 30 sen seorang itu kotor?” tanya ibu Kassim.
“Manusia tak bertamadun guna macam itulah,” jawab Kassim.
“Selain itu?” tanya ibu Kassim lagi.
“Tak ada orang cuci atau orang yang digaji cuci itu sambil lewa,” jawab Kassim.
“Agaknya mengapa orang yang mencuci itu sambil lewa?” tanya ibu Kassim.
“Mak ini tanya banyak. Sebab gajinya kecillah. Dan itu bukan tandas di rumah dia. Orang bayar tak rasa selesa dia peduli apa?” jawab Kassim yang kini terasa rimas dengan pertanyaan ibunya.
“Sim renungkan. Kalau tempat sejijik itu, Sim perlu bayar 30 sen untuk masuk. Berapa bayaran agaknya Sim perlu sediakan untuk memasuki Syurga Allah yang bersih lagi suci?” tanya ibu Kassim.
Kassim tergamam dan tidak terjawab soalan ibunya.
“Bagaimana nak sediakan bayaran ke syurga mak?” tanya Kassim yang ingin mengetahui.
“Pertama, mulakan dengan membuang ego, kesombongan dan air mukamu yang tidak bernilai itu dengan mencuci tandas sebelum kawan-kawan Sim datang. Itulah bayaran Sim kena bayar – dan apabila kawan-kawan Sim selesa menggunakan tandas kerana kebersihannya, bayaran Sim dikira diterima.
Kawan-kawan Sim guna tandas ini dengan percuma, puas hati kerana ia bersih dibersihkan oleh seseorang yang tidak dibayar gaji, malah seseorang itu membayar dengan rendah dirinya sebagai mengumpul dana ke syurga Allah. Itu bezanya Sim yang membersihkan tandas di rumah ini dengan orang yang membersihkan tandas awam di luar sana,” terang ibu Kassim.
Kassim terus mengambil peralatan dan membersihkan tandas rumahnya sebelum sahabat-sahabatnya tiba selepas mendengar penerangan ibunya.
Wahai anakku,
Bilamanamu terasa dirimu angkuh, sombong dan semakin hilang diri, cepat-cepatlah kamu pergi membersihkan bilik air secara diam-diam. Cara itu amat mujarab untuk membuang ego diri. Jika setiap manusia sanggup membersihkan tandas di masjid untuk membuang ego diri, wahai anakku, nescaya semua tandas di semua masjid akan jadi bersih-sebersihnya.
Aku sengaja ceritakan ini supaya engkau memastikan tapak kakimu sentiasa bertapak di atas bumi. Aku bimbang kamu diperdaya oleh pujian berlebihan sehingga kamu mudah terasa hati bila menerima kritikan lalu kamu menutup segala saluran untuk memperbaiki dirimu. Jika cerita ini bermanfaat padamu, janganlah engkau baca sahaja, jadilah pembaca yang memberi manfaat kepada orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan