Alkisah seorang jutawan…
Seorang jutawan, Hijaz yang kini tua pulang ke kampung untuk mengenangkan nostalgia zaman mudanya.
Hijaz balik menjenguk kampungnya di tepi laut dengan kereta mewah yang tidak mungkin dibeli oleh sesiapa di kampungnya.
Beliau singgah di sebuah gerai tepi laut kepunyaan Ustaz Azdi yang juga nelayan yang terkenal dengan sifat riang dan tenangnya di kampungnya.
“Apa khabar ustaz? Lama tak jumpa,” kata Hijaz.
“Anta dah balik… baguslah, ingat dah lupo kampung ini,” kata Ustaz Azdi.
“Ya, dah balik… akhirnya,” kata Hijaz dengan nada sedih.
“Mengapa? Ada masalah ke?” tanya Ustaz Azdi.
“Bagaimana ustaz dah tua ini pun masih riang dan tenang seperti dulu? Ustaz dah capai semua yang ingin dihasratkan? Umur kita doh tak panjang dah…” kata Hijaz.
“Anta ada apa lagi yang tak selesai? Kereta, rumah, bini, anak semua dah ada, apa yang anta keluh lagi?” tanya Ustaz Azdi.
“Banyak perkara. Ada dendam sikit, ada marah sikit sana sini, bimbang pasal perniagaan, bimbang siapa ganti ana… macam-macam… Ana tak macam ustaz… tak ada cita-cita, ana cita-cita besar,” kata Hijaz.
“Cita-cita ana ada juga. Tapi taklah mengacau sampai tak tenang dan tak senyum macam enta,” kata Ustaz Azdi.
“Yalah. Itu yang ana tak dapat belajar daripada enta. Senyum dan tenang sentiasa. Ana sikit-sikit marah, kena fikir itu ini… apa petua ustaz ya?” tanya Hijaz.
“Betul nak tahu? Tak susah petua ana…,” kata Ustaz Azdi.
“Anta nak cerita, ana sudi dengar…” kata Hijaz.
Ustaz Azdi membawa Hijaz berjalan di tepi pantai.
“Ajal kita tak tahu bila tapi kita kena sentiasa bersedia dengan kunjungannya. Anta cuba bayang besok anta akan meninggalkan dunia ini…
Tiada lagi matahari terbenam, terbit, tiada lagi masa. Hari ini sajalah yang anta ada.
Segala yang anta kumpul, kereta cantik anta semuanya akan menjadi milik orang lain besok.
Kekayaan, kuasa dan populariti anta pun akan hilang dan tidak lagi relevan di dunia ini.
Bagaimana pula dengan dendam, kemarahan, tergusir hati dan cemburu? Semuanya akan melesap besok juga.
Demikian juga dengan harapan, cita-cita, rancangan anta semuanya akan luput.
Perkara yang anta pentingkan selama ini, menang dan kalah juga tidak lagi bermakna.
Jika ajal tiba, ia tidak kisah di mana anta berada, siapa anta atau betapa cantiknya rumah anta. Jantina dan warna kulit anta pun tak dikisahkan,” kata Ustaz Azdi…
“Jadi ustaz, apa yang dikisahkan? Apa yang penting jika ana mati besok?” tanya Hijaz yang khusyuk mendengar.
“Apa yang bermakna – bukan pada apa yang anta beli, tapi apa yang anta bina, bukan apa yang anta ada, tapi apa yang anta beri. Yang bermakna bukan kejayaan anta tapi makna perkara yang anta buat selama ini.
Yang bermakna bukan apa yang anta belajar tapi apa yang anta mengajar. Yang bermakna ialah setiap tindak-tanduk yang penuh berintegriti, bersemangat, berani dan pengorbanan anta yang menjadi sumber inspirasi pada orang lain untuk dijadikan contoh.
Yang bermakna bukan kehebatan anta, tapi watak anta. Yang bermakna bukan berapa orang yang kenal anta, tapi berapa yang akan rasa kehilangan anta selepas anta tiada.
Yang bermakna bukan ingatan anta, tapi memori yang berada pada mereka yang menyayangi anta. Yang bermakna ialah berapa lama ana akan diingatkan, oleh siapa dan untuk apa.
Kehidupan yang bermakna bukan berlaku secara spontan. Ia adalah satu pilihan. Hargai masa, pilihlah kehidupan yang bermakna untuk anta,” kata Ustaz Azdi.
Hijaz terdiam… termenung jauh setelah mendengar kata-kata Ustaz Azdi.
“Anta ok?” tanya Ustaz Azdi sambil menepuk belakang Hijaz.
Hijaz terus memeluk Ustaz Azdi.
“Terima kasih. Setelah segalanya, dan kata-kata ustaz, ana rasa kampung dan kehidupan di kampung yang sederhana ini adalah terbaik untuk hidup ana.”
Wahai anakku,
Aku berharap engkau dapat memahami isi tersirat yang terkandung dalam cerita yang aku ceritakan ini. Sesungguhnya ingatlah wahai anakku, hiduplah dengan bermakna dan diredhai Allah. Buatlah syurga itu sebagai matlamatmu. Aku sebenarnya amat bimbang bilamana engkau memilih kehidupan agong di dunia ini sehingga mengabaikan segala perintah Allah dan akhirnya kamu dihumban ke neraka kerana dosa-dosa kamu. Jangan sesekali memilih jalan yang memusnahkan dirimu itu, wahai anakku.
Wahai anakku,
Kongsilah coretan aku pada mereka yang memerlukannya. Ingatlah sesungguhnya yang bermakna bukan pada apa yang engkau belajar tapi apa yang kamu mengajar dan kongsikan. Sekiranya engkau tidak mampu jadi penulis yang memberi manfaat, kamu jadilah pembaca yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.
Senyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan