Ahad, 7 Julai 2013

1-10

menjelang Ramadan yang mulia, adalah lebih bermakna jika disingkap pengalaman saya ini berdasarkan kaca mata Islam. Suatu malam selepas solat Isyak di masjid, anak saya yang sudah bekerja berhajat membelanja anggota keluarga menjamu selera makan ikan bakar di Muara Duyong. Dipendekkan cerita, disebabkan sudah makan pada sebelah petang, saya membungkus ikan bakar bahagian saya untuk dibawa pulang. Saya berhajat memakannya dengan nasi lemak baru pada pagi esoknya.

Pagi esoknya, saya tidak memakan ikan itu di rumah sebaliknya membawanya ke kebun. Saya bercadang memakan ikan itu ketika berehat selepas berpeluh menghayun cangkul.

Saya letakkan ikan itu di tempat biasa saya berehat. Pagi itu tidak pula saya mencangkul tetapi menuju ke anak sungai di hujung kebun dengan satu jala ikan yang sudah lama tidak saya gunakan.

Jala ini saya miliki sejak zaman bujang lagi. Jadi usianya mungkin lebih 30 tahun. Ketika baru membelinya dulu, kerap saya gunakannya tetapi pada setiap kali keluar menjala, hasilnya hambar, saya pun tinggalkan jala itu puluhan tahun dalam setor dan melupainya. Entah apa anginnya, pagi itu tergerak hati saya membawanya ke kebun. Selepas meneliti keutuhan jala itu, dengan lafaz ‘Bismillah’ saya pun menebarkannya ke permukaan anak sungai.
Sungguh menakjubkan, selepas puluhan tahun tidak menjala ikan, hayunan kali pertama itu membuahkan hasil lumayan. Saya mengira ikan yang saya dapat – tujuh ekor ikan tilapia. Saya lemparkan kali kedua. Lumayan juga – lima ekor tilapia.

Percubaan ketiga menghasilkan lima lagi ikan tilapia. Ertinya saya sudah dapat 17 ekor ikan tilapia dengan tiga kali tebaran saja! Selepas melempar jala tiga kali dan mendapat hasil lumayan yang saya yakin sudah cukup untuk dibuat satu hidangan, saya teringat pesanan orang tua...jangan tamak, nanti rugi macam anjing dengan bayang-bayang. Jadi saya pun berhenti daripada menjala; sebaliknya kembali ke kebun untuk menghayun cangkul.

Sedang asyik bekerja, saya terdengar bunyi kucing ‘mengiau’, mata saya dengan pantas dihalakan ke tempat rehat di mana saya letakkan ikan bakar yang saya cadang ‘santap’ pagi itu. Menyirap darah saya tatkala melihat seekor kucing berbelang yang besar sedang menjilat-jilat lidah dan mulutnya. Sahlah kucing itu sudah ‘taram’ makanan yang membuatkan air liur saya tercekur.

Mahu saja saya terkam kucing itu dan membaling cangkul yang berada dalam tangan saya. Tapi satu perasaan aneh membuatkan saya ‘stop’ (berhenti).
Heiii, ‘manusia sombong’, Allah baru bagi kau 17 ekor ikan, sekerat ikan bakar kau dimakan oleh ‘hamba Allah lain’ (kucing) pun kau nak balas dendam. Apa punya manusia kau ni? Ikan bakar kau yang tak sampai seekor tu pun Allah Taala sudah balas dengan 17 ekor ikan; itu pun kau tak bersyukur. Apa lagi kau mahu?

Apa, tak mahukah ‘bersedekah’ habuan itu kepada si belang? Saya terpaku dengan batang cangkul masih di tangan, memerhatikan ‘penyamun tarbus’ itu menghabiskan hidangannya.
Selepas makan, ‘dia’ dengan langkah selamba pun pergi. Saya ke tempat itu, mendapati yang tinggal hanya tengkorak kepala ikan! Wahai kucing, kau ingat aku ini jenis makan tengkorak ikan ke? Namun aku halalkan apa yang kau dah makan tu. Ia sudah ditakdirkan bukan rezekiku tapi rezeki kau. Kata orang, kalau bukan rezeki kita, sudah berada dalam mulut pun, orang boleh rampas, apatah lagi dalam tangan.

Ya, saya relakan kucing itu makan ikan saya. Saya bersedekah kepadanya. Teringat saya, kata-kata beberapa ustaz yang berceramah menjelang Ramadan ini. Sesuatu sedekah akan dibalas dengan 10 kali ganda. Ada kisah Sayidina Ali dan isterinya Sayidatina Fatimah az-Zahra mengenai hal ini. Fatimah yang berkeinginan makan buah delima menyuruh Ali ke pasar; Ali mendapat sebiji delima. Di pertengahan jalan pulang, Ali telah menyedekahkan buah delima itu pada seseorang. Dia pulang dengan tangan kosong. Fatimah rela dengan perbuatan Ali, kalau isteri lain sudah lama mengamuk!

Tiba-tiba seorang sahabat muncul di rumah Sayidina Ali membawa sembilan biji delima, katanya buah itu dihadiahkan seseorang kepadanya dan Fatimah.
Ali bertanya, mana sebiji lagi, lantas buah itu dikeluarkan dari poketnya. Ya, Ali tahu janji Allah itu tepat, suatu sedekah akan dibalas 10 kali ganda. Kalau pada bulan Ramadan, lagi berlipat kali ganda banyaknya.

Kata ustaz, jika bersedekah diberi ganjaran 10 kali ganda, memberi pinjaman lagi besar ganjarannya – sebanyak 18 kali ganda. Terfikir di benak saya, saya ‘bersedekah’ ikan bakar kepada sang kucing atau ‘memberinya pinjam’? Saya ingat, saya berinya ‘pinjam’ – sebab saya sudah dibalas dengan 17 ekor ikan. Tetapi mana seekor lagi, selayaknya saya dapat 18 ekor ikan. Perasaan tamak menguasai diri.

Saya ingatkan ‘seekor lagi ikan saya’ masih berada dalam anak sungai. Saya pun menebarkan jala buat kali keempat. Betul saya mendapat dua lagi ikan tilapia, menjadikan jumlahnya 19 ekor tetapi jala saya mengangkut sampah sarap dan lumpur yang banyak menyebabkan saya menghadapi masalah lain pula.

Lama saya termenung, bermuhasabah diri. Aku ini bagaikan anjing dengan bayangbayang atau apa? Mengapa perasaan tamak sentiasa menguasai diri? Tak pernah puas dengan apa yang dimiliki?

Teringat saya sebuah hadis yang bermaksud, jika manusia diberikan dua lembah emas, itu masih tidak mencukupi, dia mahu lembah yang ketiga. Dia tidak akan puas sehingga tanah memenuhi mulutnya (matilah).

Jadi sempena kedatangan Ramadan yang mulia ini, sukacita saya mengingatkan diri ini dan pembaca sekalian, sentiasalah ingat mati kerana ia akan mengendurkan nafsu yang menguasai diri termasuk sifat tamak seperti yang saya alami!

Selamat menyambut Ramadan Almubarak. Semoga amalan kita diterima-Nya, in shaa Allah! amin



اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَعْبَانٍ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan