Oleh Hariz Zuan
Kekusutan polemik kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) berakar jauh lebih awal sebelum kenyataan yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen baru-baru ini.
Perkara pertama yang wajib difahami adalah isu ini bukan tiba-tiba dan terbit begitu sahaja, tetapi isu ini memiliki latar panjang dan berbagai dimensi yang harus dicernakan dahulu agar dapat dihadam seluruhnya.
Jika tidak, rasa mual dan memulas yang tersorok dalam hempedu masing-masing itu pasti akan tersilap diagnosis akan puncanya.
Sebenarnya jika kita memahami latar ini, kita tidak akan mudah melatah dengan kenyataan Dr Ko Chung Sen, sebagaimana yang terjadi kepada Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA), malah kita pasti akan segera memaafkan kenaifan Ahli Parlimen Kampar tersebut, malah bersimpati terhadapnya.Seseorang berhak diberi ijasah dokter,dianggap sebagai orang terpelajar,tanpa diuji pengetahuannya akan keadilan.Dan bila ada tirani merajalela,ia diam tidak bicara, kerjanya cuma menyuntik saja.
Pertamanya kerana amalan pendidikan negara ini telah semakin jauh dengan falsafahnya. Jika kita mengambil sedikit waktu untuk membaca Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pastinya kita akan mendapati bahawa tujuan pendidikan negara ini jelas holistik – yang bukan semata-mata melayakkan seseorang itu mendapat ijazah tetapi yang lebih utama adalah proses pendidikan berterusan untuk mengembangkan potensi diri setiap warga bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani agar dapat menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara. Indah!
Malangnya, amalan pendidikan negara ini tidak sejalan dengan falsafahnya. Situasi ini berlaku kerana Malaysia pada suatu ketika (1980an-1990an) merupakan negara membangun yang sedang berkembang dan bercita-cita besar untuk menjadi negara industri dengan pantas. Ketika itu, kemasukan modal asing sangat pesat, FDI mencurah-curah dan banyak kilang-kilang didirikan.
Kilang-kilang ini memerlukan pekerja mahir dan separa mahir yang ramai. Maka, orientasi pendidikan negara ini pun – entah secara sedar mahupun tidak – dihalakan kepada menyediakan pekerja bagi kilang ini, bukan lagi membina insan sempurna.
Dr Mahathir yang ketika itu berikan jolokan arkitek dan CEO Malaysia benar-benar menjadikan negara ini sebagai sebuah syarikat. Dasar pembangunan Mahathir sangat mudah, pembangunan bererti bangunan – segala-galanya berbentuk fizikal – sehingga menjadikan orientasi sosial dan politik negara ini berteraskan developmentalism – teori pembangunan yang berteraskan pembangunan fizikal dan kemasukan modal yang besar. Maka, sumber tenaga kerja negara ini harus dipersiapkan untuk developmentalism ini.
Pada ketika itu, malah sehingga kini, mata pelajaran Sains dan teknikal adalah jauh lebih terhormat daripada mata pelajaran Sastera dan Kemanusiaan. Mana-mana anak sekolah yang cerdas fikirannya dikerah mengambil jurusan Sains, sehingga menerbitkan stigma bahawa sastera hanya untuk pelajar dungu dan culas belajar.
Manakala di peringkat universiti, kebanyakkan kursus juga dipastikan selaras dengan kehendak ‘pasaran’ dan ‘industri’. Kursus teknikal dan iktisas diberikan keutamaan dan kursus Sains dan Sastera tulin dianggap tiada masa depan kerana tiada prospek cerah dalam industri. Malah, kebanyakkan kursus Sains Kemanusian (Social Sciences) juga seakan diwajibkan memiliki elemen industri, umpamanya sosiologi industri dan psikologi industri. Maka, perlahan-lahan kemanusiaan terpinggir.
Selain itu, kursus di universiti juga disingkatkan daripada empat tahun untuk Ijazah pertama kepada hanya tiga tahun. Malaysia seakan tidak mampu untuk menunggu lama. Jumlah universiti digandakan, malangnya tumpuannya hanya lebih kepada bidang teknikal sehingga mencacatkan makna di sebalik istilah universiti itu sendiri – yang seharusnya mengajarkan ilmu yang universal dan holistik. Buktinya, sehingga kini, tiada satu pun jabatan falsafah di universiti di negara ini, apatah lagi fakulti falsafah.
Lebih daripada itu, mulai tahun 1996 penyertaan swasta dalam pendidikan tinggi mula berkembang melalui pengenalan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996. Kini pihak swasta menjadi pemain utama untuk menghasilkan buruh-buruh ‘terpelajar’ untuk industri.
Tambahan pula pihak swasta pastinya menjadikan pendidikan sebagai satu komoditi untuk diperdagangkan dengan mengenakan yuran yang bukan sedikit.
Bagi mengoptimumkan pasaran universiti dan kolej swasta ini, Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diperkenalkan setahun kemudian, iaitu pada tahun 1997. Kini, tugas mendidik telah diserahkan sebahagiannya kepada swasta yang berteraskan keuntungan dan hanya berminat untuk memasarkan ‘produk’ keluaran mereka kepada industri secepat mungkin.
Mahasiswa yang sebelum ini bebas daripada hutang, kini menanggung hutang besar pada usia muda. Maka, mereka juga terdesak untuk memastikan mereka diterima masuk ke dalam pasaran kerja (baca: industri) secepat mungkin, setidaknya diterima masuk kerja kerajaan!
Apakah Strategi ini Berjaya?
Jelas strategi Mahathir ini tidak berjaya! Buktinya semakin banyak rungutan daripada industri berhubung dengan ‘produk’ yang dihasilkan oleh universiti negara ini. Pastinya kita sedia maklum berkenaan rungutan kualiti graduan negara ini yang gagal untuk berdepan dengan situasi sebenar bidang pekerjaan.
Rungutan utama pastinya kegagalan komunikasi termasuk dalam bahasa Melayu, tidak mampu bekerja tanpa pengawasan dan arahan spesifik serta takut membuat keputusan.
Jelas ini merupakan hasil daripada pendidikan negara ini yang mementingkan kemampuan menghafal rumus dan mengikut arahan semata-mata – daripada mana datangnya arahan dan apakah tujuan sesuatu pelajaran tidak penting.
Maka sibuklah para ‘pemikir’ negara ini menyelesaikan masalah ini.
Malangnya, mereka tidak mahu kembali kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan sebaliknya memperkenalkan pula beberapa kursus tambahan (elektif) di universiti, termasuk teknik berfikir! Setelah lebih 20 tahun barulah diajar bagaimana untuk berfikir dan hanya beberapa jam dalam satu semester!
Strategi ini juga melahirkan graduan yang hanya berfikir dalam kerangka bidang mereka sahaja – mudahnya, mereka gagal menghubungkan antara disiplin ilmu yang pelbagai dengan bidang masing-masing. Sebagai contoh, jika graduan farmasi, mereka hanya tahu mengeluarkan diskripsi ubat kepada anak yang kekurangan zat tetapi gagal menjelaskan kenapa kanak-kanak ini tidak mendapat zat.
Demikian juga dengan arkitek yang membina bangunan yang kering sejarah dan budaya, graduan ekonomi yang hanya tahu mengira untung dan rugi tetapi tidak memahami untuk siapa keuntungan ini. Akhirnya, graduan yang kita hasilkan adalah mereka yang mati budaya atau uncultured.
Oleh yang demikian satu lagi kursus diperkenalkan untuk memberikan kefahaman latar budaya dan ketamadunan kepada mahasiswa kita yang antaranya kita kenali sebagai TITAS ini. TITAS ini niatnya baik, namun tidak mampu untuk menyelesaikan masalah paling asas sistem pendidikan kita. Umpama pokok yang hampir mati kekeringan, hanya dibasahkan daun-daunnya, bukan disiram pada akarnya.
TITAS bukanlah kursus berkenaan teologi Islam atau mana-mana agama tetapi adalah pengajian tamandun yang turut juga meliputi tamadun Asia – China dan India.
Malangnya, Dr Ko, sebagaimana kebanyakkan lain yang terperangkap dalam pendekatan pembangunan Mahathir, gagal untuk melihat kepentingan subjek kemanusiaan dalam sesuatu pengajian profesional seperti perubatan.
Mana Puncanya?
Kekeliruan yang ditimbulkan angkara TITAS ini merupakan manifestasi kebebalan dan kecamukan sistem pendidikan yang diwarisi negara ini. Bagi memahami daripada mana datangnya kebingungan dalam isu TITAS ini kita harus menaiki mesin masa untuk pulang sekitar 30 tahun dahulu – tepatnya 1971.
Ya, semua daripada kita tahu bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikuatkuasakan sejak 1971 sebelum diperketatkan pada 1974 oleh Dr Mahathir yang pada ketika itu Menteri Pelajaran. Apa kaitannya AUKU dengan TITAS ini? Jangan silap, celaka AUKU ini bukan hanya menyekat aktivism mahasiswa sahaja, malah yang lebih merosakkan adalah hilangnya autonomi universiti.
Tanpa autonomi, pihak eksekutif bukan sahaja boleh campur tangan dalam soal pentadbiran dan pengurusan universiti, malah sebagaimana yang dibuktikan dalam kes TITAS ini, eksekutif boleh campur tangan dalam membentuk subjek akademik dalam universiti.
Mengapa situasi ini tidak sihat? Pertamanya kerana universiti sebagaimana sifatnya merupakan korpus ilmu yang wajar dihormati akan kedudukannya. Maka silibus dan keputusan yang dibuat dalam universiti harus dibiarkan kepada kaki tangan akademik berdasarkan bidang keilmuan mereka, bukan kerana kepentingan sesiapa. Keduanya, bagaimana kaki tangan pentadbiran kerajaan yang tidak terlatih dalam disiplin ilmu yang khusus membuat keputusan untuk mewajib atau tidak sesuatu mata pelajaran?
Tanpa ada niat untuk meremehkan pegawai Kementerian dan barisan kabinet kerajaan, pastinya tidak masuk akal mereka yang mungkin memiliki ijazah komunikasi atau pengurusan pejabat untuk menentukan silibus di universiti. Bukankah lebih afdal jika perkara ini ditentukan oleh para profesor di dalam universiti tersebut?
Kesimpulannya di sini, isu TITAS ini jauh lebih kompleks daripada apa yang dapat kita sangkakan. Perdebatan berkenaan TITAS ini seharusnya membuatkan kita kembali merenung sistem pendidikan negara ini, ke manakah ingin di bawa anak bangsa ini? Menjadi insan atau menjadi buruh?
Kita juga harus berani dan teguh untuk keluar daripada kerangka pendidikan dan pembangunan yang dibina oleh Mahathir.
Beliau punya sumbangannya kepada Malaysia dan segalanya akan diadili oleh sejarah. Cuma yang tinggal adalah kita untuk meluruskan kembali arah tuju bangsa Malaysia ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan