Ahad, 7 Julai 2013

Haq

Pertembungan Haq vs Bathil

Sebelum kemenangan Dr.Mursi, tiada yang diistilahkan dengan "aliran Islam" atau "aliran sekular" tetapi hanya dikenali "kelompok Mubarak" dan "bersama revolusi". 

Buktinya, pada Pilihanraya Parlimen akhir tahun 2011, Ikhwan Muslimin melalui partinya FJP telah membentuk gabungan kerjasama dipanggil "Tahaluf Ad-Dimoqrati Min ajli Misr" iaitu "Gabungan Kerjasama Demokrasi Untuk Mesir" yang terdiri daripada 11 buah parti termasuk parti-parti bukan aliran Islam seperti Parti Wawasan dan Parti Kemuliaan (Karamah).

Pada Pilihanraya Presiden yang diadakan pada bulan April 2012, maka seramai 12 calon Presiden pada pusingan pertama. Jika dilihat latarbelakang calon-calon ini maka hanya tiga orang dari aliran Islam termasuk Dr.Mursi. Adapun yang lain dari aliran sekular termasuk ketua-ketua Barisan Penyelamat, iaitu Amru Musa dan Hamdeen Sobahi. Kesemua mereka tewas pada pusingan pertama dan diumumkan hanya dua calon yang memperolehi undi tertinggi, Mursi dan Ahmed Syafiq akan berentap pada pusingan terakhir.

Pada 27 Jun 2012, SPR telah mengumumkan Mursi menang dengan majoriti hampir 1 juta undi.

29 Jun 2012, Mursi mengangkat sumpah jawatan.

30 Jun 2012, Majlis Tentera menyerahkan tampuk kekuasaan yang dipegang mereka selepas kejatuhan Mubarak secara rasmi kepada Mursi.

Ahmed Syafiq, bekas PM zaman Mubarak (calon Presiden yang kalah) terpalit dengan skandal terlalu banyak termasuk menyeleweng wang rakyat. Dia terpaksa melarikan diri ke luar negara bagi menyelamatkan diri maka destinasi yang dipilih ialah UAE (Abu Dhabi).

Pihak berkuasa Abu Dhabi bukan sahaja mengalu-alukan Syafiq tetapi lebih dari itu, melantik beliau sebagai Penasihat kepada Raja UAE.

Bermula saat itu, Abu Dhabi menjadi pengkalan baru bagi kroni Mubarak untuk meneruskan agenda menghancurkan Mesir baru di bawah Mursi.

Syafiq tidak keseorangan tetapi bersama dengan Mohammad Dahlan (bekas pimpinan Fatah Palestin) dan Ketua Tertinggi Polis Dubai Dhohi Khalfan meneruskan agenda yang dirancang.

UAE (atau Abu Dhabi dan Dubai) dijadikan 'perkakas' musuh Islam apabila menyaksikan pihak berkuasanya melucutkan kewarganegaraan mereka yang terlibat dengan Ikhwan Muslimin selain menghantar pulang warga Syria yang mengadakan himpunan protes terhadap kekejaman rejim Syria di hadapan kedutaan itu di Abu Dhabi.

Ketika ulamak terkenal, Syeikh Yusuf Qardhawi lantang mengkritik rejim Bashar Al-Asad maka Dhohi Khalfan telah menggesa Interpol menangkap Qardhawi atas alasan mencetuskan huru-hara.

Selepas kemenangan Mursi, Mesir melalui pelbagai cabaran dan rintangan. Halangan tersebut bukan sahaja dari dalam tetapi kini dari luar.

Yang paling nyata ketika perbincangan untuk menggubal perlembagaan negara itu hangat diperkatakan. Rakyat dan kerajaan bersepakat perlu perlembagaan yang ada yang diwarisi pada zaman Mubarak dipinda.

Kerajaan telah bersetuju melantik sebuah panel penggubal perlembagaan yang diketuai oleh seorang bekas hakim, Husam Ghiryani. Panel tersebut telah mewakili semua lapisan masyarakat bagi mewakili suara seluruh rakyat untuk menyumbang kepada pindaan perlembagaan itu. Keanggotaan mereka semua seramai 100 orang termasuk wakil tentera, Al-Azhar dan gereja.

Maka yang turut dilantik ialah parti-parti aliran sekular seperti Parti Wafd dan calon-calon Presiden yang kalah iaitu Amru Musa.

Tanggal 4 November 2012, Amru Musa mengadakan lawatan ke Ramallah. Beliau mengadakan pertemuan sulit dengan bekas Menteri Pertahanan Israel, Tzipi Livni. Tidak diketahui apakah isi perbincangan tetapi beliau telah zahirkan dari sudut tindakan.

Sekembalinya dari Ramallah, Amru Musa bersama-sama wakil parti sekular telah menarik diri daripada Panel Penggubal perlembagaan tanpa dinyatakan sebab secara jelas. Mereka semua seramai 15 orang. Maka berbaki dalam panel tersebut 85 orang meneruskan perbincangan.

Tanggal 14 November, Israel menembak mati Ahmed Ja'abari, orang nombor dua Briged Al-Qassam di Gaza maka bermulanya serangan Israel ke atas Gaza.

Selama peperangan hampir dua minggu itu sebenarnya membawa pukulan maut kepada Israel. Zionis terlupa jika serangan yang dibuatnya pada 2008 ketika itu Mubarak memerintah Mesir tetapi 2012 Mursi yang memerintah.

Maka, satu-satunya kekuatan bagi penduduk Gaza ialah pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir-Gaza tidak dibenar tutup oleh Mursi. Hasilnya, penduduk Gaza bebas keluar masuk dan misi bantuan dunia ke Gaza termasuk ubat-ubatan mencurah-curah tiba.

Tamparan makin hebat kepada Israel apabila Mursi membuat tindakan berikut;

1) Menutup Kedutaan Mesir di Tel Aviv (sebelum itu memang Mursi sudah berhasrat menutup kedutaan cumanya tidak kena dengan masa. Ini kerana sejak zaman Anwar Sadat Mesir mempunyai hubungan diplomatik dengan Zionis).

2) Memanggil duta Israel ke Mesir untuk menyerahkan notis bantahan secara rasmi.

3) Mencadangkan kepada Liga Arab untuk memanggil semua Menteri Luar mengadakan mesyuarat tergempar.

4) Mewakilkan kepada Perdana Menteri, Dr.Hisyam Qandil menziarahi Gaza sebagai tanda sokongan Mesir kepada rakyat Gaza.

UAE meneruskan provokasi kepada Mesir apabila menangkap beberapa orang rakyat Mesir yang bertugas di Abu Dhabi dan Dubai. Jumlah mereka yang ditangkap lebih 10 orang dan disembunyikan di lokasi yang tidak diketahui. Keluarga terdekat gagal menghubungi. Pihak berkuasa UAE memberikan alasan mereka terlibat dengan gerakan bagi menubuhkan tanzim Ikhwan di UAE.

Sehingga hari ini kesemua mereka belum dibebaskan bahkan akan dihadapkan ke mahkamah UAE.

Pada akhir November 2012, panel penggubal yang diketuai oleh bekas hakim Husam Ghiryani selesai membincangkan draf pindaan. Setiap draf pindaan memerlukan kepada pungutan suara rakyat (referendum) bagi mengesahkan sama ada rakyat menerima atau menolak draf cadangan tersebut. Maka kumpulan Amru Musa telah bergabung dengan Hamdeen Sobahi dan di sini muncul watak bernama Dr.Mohammed El-Baradei, bekas Ketua Agensi Atom Antarabangsa PBB. Mereka 'tiga serangkai' menolak draf pindaan tersebut dan menubuhkan "Barisan Penyelamat" kononnya bagi menyelamatkan negara dari di"Ikhwan"kan oleh Mursi. Maka, dakyah bahawa Ikhwan sedang meng"Ikhwan"kan negara dimomokkan kepada rakyat.

Lebih dari itu, penyokong Barisan ini telah berhimpun di Istana Ittihadiyah, pejabat Mursi. tiba-tiba, kempen untuk menolak perlembagaan itu berubah kepada slogan "Irhal Ya Mursi" iaitu mendesak Mursi berundur. Kenapa terlalu jauh mereka bertindak? Sedangkan topiknya bukan Mursi tetapi perlembagaan.

Akhirnya, berlaku pertempuran dengan pemuda Ikhwan Muslimin dan anggota Barisan yang dibantu oleh perusuh (baltoji). 11 orang pemuda Ikhwan syahid di hadapan Istana Ittihadiyah.

Pada 15 November 2012, rakyat tetap turun dalam pungutan suara. Akhirnya, lebih 60 peratus pengundi menyatakan setuju kepada perlembagaan itu dan Mursi menandatangani perlembagaan tersebut untuk dikuatkuasakan.

Di sini bermula parti-parti aliran Islam menunjukkan kesatuan mereka. Jamaah Islamiyah, Parti Wasat dan Dakwah Salafiyah telah menyatakan sokongan kepada perlembagaan ini.

Sementara itu, Mursi tidak membuat keputusan bersendirian. Bagi mengelakkkan dirinya bersikap diktator seperti Mubarak, maka antara usaha awal beliau selepas menang ialah menubuhkan "Pasukan Jabatan Presiden" yang terdiri daripada 17 orang penasihat dan empat orang pembantu. Mereka ini bukan menteri kabinet tetapi di kalangan anggota pembantu beliau yang akan dijemput berbincang dan mengemukakan idea. Di kalangan mereka, dilantik wakil Kristian, wakil wanita, dari kalangan Salafi dan Ikhwan Muslimin.

Bagi mengelakkan pemerintahan diktator, beliau juga mencetuskan idea "dialog kebangsaan". Semua parti-parti politik dijemput dan mereka menyertainya. Barisan Penyelamat menolak untuk menyertai dialog ini.

Mereka kemudian menubuhkan NGO yang dinamakan "Gerakan Kebangsaan" yang mengumumkan secara jelas mereka menolak menjadikan Mesir ke arah negara berasaskan mana-mana agama.

Pada 29 April 2013 mereka melancarkan "Kempen Pemberontakan" (atau Hamlah Tamarud).

Kempen ini antara lain bertujuan mengumpul sebanyak mungkin tandatangan dari rakyat Mesir bagi menarik balik kepercayaan daripada Mursi dan mengadakan Pilihanraya Presiden lebih awal walaupun perlembagaan baru yang diluluskan tahun lalu memberikan had tempoh kepada Presiden satu penggal selama 4 tahun dan tempoh pemerintahan Mursi sepatutnya berakhir 30 Jun 2016. Mereka turun ke dataran-dataran utama di negara bagi mengedarkan borang tandatangan kepada rakyat.

Jawatankuasa kempen ini mengumumkan sehingga 12 Mei lalu mereka berjaya mengumpulkan 2 juta tandatangan rakyat bagi mendesak pilihanraya Presiden diadakan lebih awal. Mereka mensasarkan menjelang 30 Jun nanti, sebanyak 15 juta tandatangan akan dikumpulkan iaitu melebihi undi yang diperolehi oleh Mursi dalam pusingan terakhir menentang Syafiq Jun 2012 iaitu 13 juta undi sahaja.

Menjelang 30 Jun, Tamarrud mendakwa mereka berjaya mengumpukan 20 juta tandangan.

Kumpulan Islam yang diketuai oleh Jamaah Islamiyah pula melancarkan kempen "Tajarrud" sebagai lawan kepada kempen "Tamarrud" iaitu mengumpul tandatangan rakyat bagi mempertahankan Mursi.

Pada 23 Jun 2013, Menteri Pertahanan Mesir Abdul Fattah As-Sisi menyampaikan ucapan dalam satu majlis bersama pegawai-pegawai tentera mengejutkan semua pihak. Beliau sebagai Ketua Majlis Tentera telah memberi masa seminggu kepada semua pihak untuk mencari noktah persamaan bagi mengelakkan krisis dalam negara.

Pada 28 Jun, Mursi membentangkan pencapaian beliau selama setahun selama hampir 3 jam.

30 Jun, lebih 2 juta penentang Mursi turun ke Tahrir dan beberapa dataran lain mendesak Mursi berundur.

Pada 1 Julai, menyaksikan kenyataan rasmi pertama dari tentera yang memberi kata dua dengan memberikan tempoh 48 jam kepada pihak berkuasa menerima tuntutan rakyat atau tentera terpaksa campurtangan menyusun pelan tindakan negara akan datang.

Petang 3 Julai, As-Sisi mengadakan pertemuan dengan Mohammed El-Baradei yang turut dihaidir oleh wakil Parti Nur, Syeikh Azhar Dr Ahmed Toyyib dan Ketua Gereja, Pope Tawadhrox. Sisi menyampaikan ucapan dengan kehadiran wakil-wakil yang disebut mengumumkan rampasan kuasa dengan melantik Ketua Hakim mahkamah Tinggi Perlembagaan, Adli Mansour sebagai Presiden sementara.

Ustaz Mohamad Abdul Malik bin Abdul Karim
[ Penasihat PMRAM ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan