TELINGA adalah alat yang sememangnya cukup penting untuk mendengar. Seorang rakan yang belajar dalam bidang kedoktoran pernah mengatakan bahawa mengikut kalimat daripada doktor pakar telinga Perancis, pendengaran manusia berkembang hanya 12 minggu setelah terjadinya pembiakan.
Pendengaran merupakan indera pertama manusia yang berfungsi dan terakhir sebelum tubuh kita mati.
Sebagai seorang yang menuju kedewasaan, kita mampu mendengar melalui seluruh tubuh kita. Kita mampu merasakan suara menjalar di permukaan otot, tulang dan kulit kita.
Banyak bukti keilmuan menunjukkan betapa unggulnya indera pendengaran manusia berbanding penglihatan. Mendengar merupakan cara utama manusia untuk merasakan aliran waktu sejak masa lalu hingga masa depan. Namun, manusia kini mula hilang kemampuan pendengarannya apabila semakin banyak mata yang digunakan berbanding pendengaran.
Kita barangkali secara tidak sedar, memiliki kemampuan mengenal pola suara. Kita masih mampu berbicara dengan seseorang di tengah majlis keramaian, konsert, gig serta ceramah paling riuh dengan gegak gempita laungan manusia. Kita mampu memisahkan antara kebisingan dan tanda suara yang diucapkan kawan kita.
Kita memiliki kemampuan untuk menyaring satu suara daripada rimbunan suara lain. Kita pernah memiliki kemampuan berdiam cukup lama untuk menikmati indahnya suara yang mendekati tingkap rumah kita pada pagi dan malam hari. Sekarang, kebisingan merupakan musuh ketat kita.
Apa yang menyebabkan kita kehilangan kemampuan mendengar? Pertama, teknologi telah menemukan cara untuk merakam. Bermula daripada tulisan, rakaman audio, hingga video.
Kedua, dunia menjadi semakin bising. Mendengar kini menjadi pekerjaan yang amat memenatkan. Sebuah kajian dari luar negara menunjukkan bahawa kebisingan di kota besar termasuk Kuala Lumpur dan beberapa bandar besar lain di seluruh dunia meningkat dua kali ganda setiap tahun.
Ia menyebabkan kebanyakan manusia bergantung kepada ‘headphone’ akibat daripada situasi kebisingan melampau ini. Akhirnya alat yang kita panggil ‘headphone’ ini kemudiannya membuat manusia semakin tidak mendengar antara satu sama lain. Setiap orang akhirnya hidup dalam gelombang suaranya sendiri.
Ketiga, manusia kini menjadi semakin tidak sabar. Kita tidak tahan mendengar pidato berjela-jela tanpa topik atau fokus yang jelas. Orang yang pergi ke acara bacaan puisi dan persembahan muzik pula datang hanya untuk menonton, mengambil gambar untuk dimuat naik ke laman sosial, bukan mendengar. Media pula berteriak dengan berita provokatif dan sensasi, seolah-olah itu satu-satunya cara yang mereka mampu lakukan untuk menarik perhatian.
Kini kita hanya boleh mendengar kata-kata kita sendiri. Semakin sedikit orang yang menaruh perhatian pada kesunyian, kelembutan suara, atau bisikan. Lama-kelamaan kita menjadi semakin tidak peka, semakin tidak manusiawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan