Selasa, 9 Julai 2013

PIE-S

“Nak ambil tawaran yang mana satu?” saya bertanya kepada isteri.
Beliau termenung.

Mungkin kedua-dua tawaran ada pro dan kontranya.
Tawaran pertama ialah sebagai pegawai penyelidik. Gaji RM1400 sebulan. Pejabat berhampiran dengan stesyen LRT dan saya belum ada lesen kereta. Menyelidik memang keseronokan saya. Dibayar gaji untuk berfikir, apakah ada yang lebih baik daripada itu?

Tawaran kedua ialah sebagai co-trainer, membantu pengarah di sebuah syarikat motivasi, perlu out station mungkin mencecah beberapa belas hari dalam sebulan, dan gaji yang ditawarkan ialah RM800 sebulan. Insya Allah elaun out station akan ditambah serba sedikit bergantung kepada komitmen.

ANTARA TANGGUNGAN DAN TAWARAN
Ketika itu saya sudah mempunyai dua cahaya mata.
Sedang mengendalikan perang dalaman kerana berasa malu tatkala isteri yang seorang doktor, gajinya hampir tiga kali ganda berbanding gaji suami.
Rumusannya pada masa itu ialah menghitung pertimbangan antara perkembangan PIES.

  • P mewakili Physical
  • I mewakili Intellectual
  • E mewakili Emotional
  • S pula mewakili Spiritual

Kedua-dua pekerjaan itu tidak mempunyai konflik dengan S.
Kepercayaan saya melihat bahawa kedua-duanya adalah pekerjaan yang halal, murni dan selari dengan tujuan hidup saya.

Ada pun P, nyata sekali tawaran kerja yang pertama itu lebih kondusif. Gajinya hampir sekali ganda. Usaha hendak ke pejabat juga lebih mudah kerana berhampiran dengan stesyen LRT. Namun saya ada konflik dengan I dan E.

Dari aspek I, saya belum mempunyai metodologi yang kemas untuk menjadi seorang penyelidik, walaupun sesi temuduga sudah berjaya saya manfaatkan untuk meyakinkan panel tentang keupayaan saya menganalisa situasi dan mengemukakan dapatan kajian. Saya juga merasakan betapa pekerjaan itu akan banyak menuntut aspek I dan kurang menyumbang kepada pembangunan I sedia ada, sedangkan saya masih di peringkat menyesuaikan diri dengan keadaan tanah air selepas 11 tahun hidup di perantauan. Selagi tidak belajar dan menguasai Kaedah Penyelidikan, bekerja sebagai pegawai penyelidik adalah pseudo dan mempunyai bahaya yang bersifat subliminal.

Manakala E, saya ini ‘bernafsu besar’ terhadapnya.
Jika saya minatkan sesuatu, demam pun saya sanggup datang kerja. Emotional Quotient saya amat berdominasi. Malah cabang E iaitu aspek ‘Social’ turut saya pentingkan. Saya sangat berat hati kerana 11 tahun hidup di perantauan dan didahului dengan 5 tahun menjadi anak asrama semasa di sekolah menengah, saya tidak kenal ramai orang. Saya kurang pergaulan. Lama duduk di luar negara, saya tidak tahu orang Malaysia ini sebenarnya bagaimana. Dan aspek S yang melantik saya sebagai pendakwah, saya dahagakan input E.

Atas pertimbangan itu, akhirnya saya membuat keputusan yang berat.
Saya memilih tawaran kedua.

JUSTIFIKASINYA
Saya yakin pekerjaan di bidang motivasi akan membuka lembaran baru dalam kehidupan.

Mendapat didikan daripada majikan yang amat berpengalaman di dalam dakwah dan latihan, bakat menulisnya yang sudah diketahui umum, dan peluang bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat amat saya mahukan. Hari ini berkursus dengan Top Management sebuah syarikat gergasi nasional, kemudian dengan murid sekolah bermasalah, diikuti dengan ustaz-ustaz di dalam sebuah organisasi kewangan Islam, kemudian akak-akak penyiram bunga sebuah PBT yang kebanyakannya buta huruf, dan seterusnya pelajar cemerlang di sekolah terbilang, disusuli pula dengan 1001 jenis manusia yang ‘dihantar Tuhan’ ke program kami… saya lelah, tetapi terasa amat pantas belajar dan berkembang.

“Haha, kerja apa gaji ‘seciput’ macam ini?” tanya seorang pegawai bank semasa saya mahu menunaikan cek gaji.

Muka saya merah padam.
“Hari ini lauk telur!” kata isteri saya.
Pasrah.

Beratnya pekerjaan saya itu ialah, pekerjaannya tidak difahami oleh ‘orang luar’. Saya tidak mampu meyakinkan orang tentang prospek kerja saya itu sebab kerja saya tidak difahami oleh ahli keluarga. Apa yang jelas ialah ukurannya banyak berkisar pada insentif P iaitu wang.
Ia krisis besar buat diri saya.

“Makan duit bini ke?” kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga.
Apabila insan-insan di keliling kita memandang rendah kepada kerja yang kita lakukan, itu tandanya mereka mempunyai pandangan hidup yang berbeza. Kita ada dua pilihan. Sama ada menukar kerja dan mendapat satu manfaat jangka segera yang mahu dicapai itu. Atau pun menukar pandangan hidup mereka melalui kesungguhan kita dan keyakinan kita sendiri terhadap apa yang kita lakukan. Kuncinya hanya satu iaitu, APAKAH PANDANGAN ANDA SENDIRI TERHADAP PEKERJAAN YANG ANDA LAKUKAN?

Jika kita menghormati dan menyanjungi pekerjaan tersebut, rasa hormat orang lain akan terbina sedikit demi sedikit. Dan dengan pandangan hidup yang semakin sama, manfaat yang terhasil bukan satu atau lima, tetapi infiniti!

Biar pun manfaat P amat terbatas dan saya bekerja keras siang malam untuk menampungnya, manfaat I, E dan akhirnya S amat terasa. Ia sangat bagus untuk masa depan saya, dan masa depan masyarakat yang menanti peranan optimum saya.

TAWARAN DATANG
Selepas beberapa tahun bekerja di syarikat berkenaan, saya didatangi pelbagai tawaran kerja yang menawarkan gaji hingga tiga ke lima kali ganda daripada gaji pada masa tersebut.

Bekerja sebagai content editor di sebuah syarikat penyiaran, bekerja sebagai Pengarah Wilayah bagi sebuah NGO bertaraf antarabangsa, bekerja sebagai Penyelidik Kualitatif di sebuah syarikat Oil and Gas di negara Teluk, serta tawaran mengembangkan kerjaya sebagai kaunselor di sebuah hospital ternama, semuanya memberikan kelegaan yang besar pada tekanan hidup di era gaji RM800 di Kuala Lumpur dengan anak dua dan bakal menjadi tiga.

Namun pekerjaan-pekerjaan itu mengorbankan banyak aspek kehidupan saya yang lain. Saya tidak mampu hidup puas dan gembira dengan tawaran gaji RM6000 sebulan ketika saya gagal diyakinkan tentang kemewahan aspek I, E dan S yang turut penting buat diri ini, tanpa sebarang kompromi.
Saya dengan berat hati namun yakinnya bulat dan keras seperti batu, saya menolak semua tawaran itu.

Saya yakin satu perkara:
Memilih pekerjaan yang besar P tetapi kecil E yakni gaji bagus tetapi kerja tanpa minat akan menyebabkan P berkemungkinan bertambah tetapi bersama E yang semakin mengecil. Akhirnya P turut terjejas.
Ada pun pekerjaan yang aspek P kecil tetapi E besar, akan sampai masanya E terus subur dan P bertambah.

Apa yang penting I (Intellectual) mesti terus berkembang dan S (Spiritual) mesti sentiasa memandu.

Keyakinan itu saya kongsikan bersama sahabat-sahabat junior  yang baru menamatkan pengajian dan sedang berada di persimpangan memilih kerjaya yang mungkin berbeza daripada kelulusan dan jauh daripada manfaat awal jangkaan.

Pertimbangan P sahaja kurang memadai kerana P akan berkembang pesat apabila I, E dan S berkolaborasi bersama. Lebih menyeronokkan, apabila anda bekerja bersama pemimpin yang tidak tidur malam kerana berfikir dan merancang bagaimana hendak menjadikan anda insan berjaya. Saya sudah merasainya, dan saya juga mahukan perkongsian yang sama untuk dirasai oleh sahabat semua.

Dan setelah beberapa tahun bekerja di bidang latihan dan motivasi, saya mengalami krisis I yang teruk. Terasa dungu. Usai Ramadan 1433H saya menutup syarikat dan mendaftar pengajian sebagai pelajar sarjana sepenuh masa, biar pun konflik P-I-E akan terus berlarutan ke satu masa yang saya sendiri tidak pasti.

- See more at: http://saifulislam.com/2013/07/memilih-kerjaya-antara-p-i-e-dan-s/#sthash.ZbmNnwrm.H7bdXfAI.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan