KEKELIRUAN GST
Bangun awal pagi, saya dah terima mesej seorang sahabat minta jawab kekeliruan berhubung GST. Masuk kelas hari ini pula, sudah 2 kelas pelajar bertanya mengenai GST. Belek paper di kantin pun, hal GST. Malam ini juga usrah bersama pemuda, akan menjawab persoalan GST. Hidup hari ini dihiasi dengan kalimah GST GST dan GST.
Baiklah. Saya punya pendapat tersendiri mengenai GST, dan mungkin bertepatan dengan pendirian alim ulama' anti pemerintah (sekarang), dan tentunya berlawanan dengan alim ulama mesra pemerintah. Pendapat saya boleh diterima dan ditolak, tetapi haruslah ditolak dengan hujah yang baik.
Saya berpegang kepada pendapat memungut cukai adalah harus. Tetapi cukai berbentuk GST adalah haram. Hujah paling utama adalah kerana menindas golongan tidak berkemampuan.
Dalam Islam, cukai dipungut dari golongan kaya. Tak kiralah atas nama zakat, jizyah, kharraj, ushur atau apa jenis sekalipun, falsafah cukai adalah untuk sama-sama membela nasib masyarakat.
Justeru dalam mengutip apa-apa cukai, ia mestilah bersifat ekslusif kepada golongan berkemampuan sahaja, tidak boleh melibatkan nelayan, petani, penoreh dan orang-orang miskin di kampung.
Konsep cukai Islam adalah selari dengan falsafah zakat, iaitu mengikut hadis:
تؤخذ من اﻷغنياء وترد على الفقراء
Diambil dari orang kaya, dan diberi kepada fakir miskin. Konsep cukai GST, boleh jadi harta diambil dari orang miskin, dan hasilnya dimanfaatkan oleh orang kaya pula!
Bahkan pandangan pakar undang-undang barat juga sejak mula memperkenalkan cukai moden kurun ke 18 berteori bahawa falsafah cukai adalah untuk merapatkan jurang perbezaan antara rakyat. Ia membela nasib kurang upaya supaya mampu hidup setaraf dalam sesebuah masyarakat. Secara mudah, harta si kaya dikenakan cukai untuk dimanfaatkan buat si miskin.
Namun GST dikenakan kepada semua pengguna tidak kira kaya atau miskin . Orang kaya kena 6%, orang miskin juga kena 6%. Orang kaya gaji harian RM100 beli lauk nasi RM10.60 dengan mudahnya membayar kerana 60 sen kecil baginga. Sedangkan orang miskin gaji RM10 sehari juga terpaksa cari tambahan 60 sen yang begitu bernilai kerana lauk mereka juga RM10.60.
Wujudkah keseimbangan dalam masyarakat dengan situasi sebegini
FATWA
Fatwa JAKIM mengenai GST pula sangat meragukan. Mereka hanya memetik kata-kata Ulama yang mengharuskan cukai semata-mata, tanpa mengemukakan bentuk bagaimanakah cukai yang diharuskan itu.
Kalau setakat pengharusan cukai, saya juga menerima pendapat ulama itu sudah sekian lama. Namun ia bukanlah tajuk perbahasan sekarang. Persoalan yang harus dikaji ialah adakah cukai boleh dikutip daripada rakyat miskin?
Fatwa sebegini mengingatkan saya kepada fatwa Ustaz Kazim Elias semasa timbul isu DNA babi dalam Cabdury. Beliau dengan rakus keluar fatwa babi haran, dengan segala ayat-ayat Al-Quran dan fatwa ulama.
Lalu dijawab oleh Dr MAZA: "Semua orang tahu babi haram. Kita sekarang bukan bercakap bab babi-babi goreng ni."
Bacalah fatwa-fatwa cukai dari nama-nama setiap ulama yang disebut itu. Pasti akan bertemu kenyataan 'harus mengutip cukai dari si kaya' sahaja tanpa menyebut miskin.
TAS'IR
Ada juga berhujah dengan hadis Nabi dimana baginda tidak mengendahkan permintaan sahabat supaya mengawal kenaikan harga barang apabila harga pasaran meningkat. Sabda Nabi, Allahlah yang menentukan semuanya. Allah menaikkan dan menurunkan harga barang. Allah telah tetapkan rezeki manusia dan tidak terjejas takdir itu dengan turun naik pasaran. Lalu bagi mereka, GST adalah hukum alam yang harus diredhai.
Ini hujah tak masuk akal. Tindakan Nabi itu kerana kenaikan harga barang yang dipengaruhi faktor supply and demand, bukan faktor cukai yang dicipta manusia. Supply and demand adalah faktor semulajadi yang tidak boleh diubah sesuka hati. Sedangkan GST adalah cukai yang dikenakan pemerintah. Tanpa GST, harga barang dari RM10 tidak akan jadi 10.60 begitu saja.
Akhir kata, Islam mendidik erti keadilan sebenar. Kerajaan pula hanya memahami keadilan dengan mafhum kesamarataan. Bolehkah bayi baru lahir diberi makan nasi ayam, sama seperti ibunya atas dasar samarata? Bolehkah budak tadika diajar teori phytagoras yang diajar kepada budak SPM atas dasar samarata?
Pada harta si kaya, ada hak si miskin padanya. Berilah hak kepada yang selayaknya, dan berilah tanggungjawab kepada yang selayaknya. Itulah ADIL.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan