Rabu, 25 Julai 2012

Allah bersamamu


Mereka menyuruh kami membakar rumah penduduk Rakhine, namun kami enggan dan tahu itu semua hanya taktik mereka untuk mencari kesalahan orang Islam. Malangnya, seorang daripada pemuda Rohingya termakan ‘umpan’ itu.
Dia mengambil bekas petrol itu dan membakar rumah penduduk Rakhine yang terletak tidak jauh dari tempat kami berkumpul. Akibatnya, dia ditembak mati oleh polis. Saya juga melihat jelas beberapa penduduk Rakhine membakar sendiri rumah mereka dan selepas itu menuduh orang Islam membakarnya.

Berikutan itu, keadaan semakin kecoh dan polis mula melepaskan tembakan. Saya berlari sekuat mungkin untuk menyelamatkan diri. Namun, tak tahu nak pergi ke mana kerana semua laluan pulang ke rumah sudah ada sekatan polis.


Mujur ada seorang pak cik mengajak saya mengikutnya pulang ke rumah dan saya berada di rumahnya selama seminggu. Selepas keadaan sedikit reda, baru saya boleh pulang ke rumah apabila ayah datang mengambil. Kami terpaksa menggunakan jalan di sawah dan hutan untuk sampai ke rumah.

Ayah memberitahu saya, dalam kejadian pada 8 Jun itu, 50 remaja lebih kurang sebaya saya ditahan polis dan sehingga kini tiada khabar berita mengenai mereka. Tak tahu masih hidup atau sudah mati dibunuh.


Hanya dua hari berada di rumah, ayah mengajak saya lari ke Bangladesh. Katanya, kami perlu melarikan diri kerana polis akan menangkap kami. Menurut ayah, polis memburu saya kerana berada di pekan Maungdaw ketika kekecohan pada 8 Jun dan nama ayah pula berada dalam senarai dikehendaki kerana dia dianggap seorang pemimpin masyarakat.” Hameed (60 tahun - ayah kepada Hassan) “Saya membuat keputusan membawa Hassan lari bersama saya ke Bangladesh kerana yakin jika kami kekal di Maungdaw, pasti kami akan ditangkap. Saya tidak menyesal lari ke sini, cuma agak sedih kerana terpaksa meninggalkan isteri dan dua anak perempuan di kampung.



Saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT semoga mereka selamat. Terus-terang, saya tidak tahu bagaimana masa depan mereka, malah masa depan saya dan Hassan di Bangladesh.

Saya berharap kami tidak ditahan pihak berkuasa Bangladesh. Kami mahu bekerja, tak kisah kerja apapun. Lebih penting, kami mahukan wang untuk dihantar kepada isteri, anak dan saudara mara yang masih berada di Maungdaw.


Mereka kini kekurangan makanan kerana kami tidak dibenarkan keluar rumah untuk membeli beras serta makanan lain di kedai. Malah, kedai milik orang Islam Rohingya diarah tutup. Yang tinggal hanya kedai puak Rakhine, tapi mereka tidak mahu menjual makanan kepada orang Islam.

Kini, semua penduduk Islam mencatu makanan. Ada yang terpaksa mencampur beras dengan tepung dan pisang supaya jadi lebih banyak. Malah, saya juga diberitahu ada yang terpaksa makan umbut pisang dan turut mencampurkannya ke dalam beras untuk dimasak.


Ini kali kedua saya merasai pengalaman diserang pihak berkuasa dan diarah meninggalkan kampung. Kali pertama pada 1991, tapi kali ini lebih dahsyat dan ganas. Dulu, kami hanya dihalau dari kampung, tapi kali ini rumah kami dibakar, malah ramai yang dibunuh selain ditahan pihak berkuasa.


Saya tidak tahu bila masalah kami ini berakhir dan hanya bertawakal kepada Allah supaya kami diselamatkan daripada kezaliman ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan