Ahad, 8 Julai 2012

Cinta Allah dan RasulNya


Muslim sangat sinonim dengan cinta. Bukankah cinta itu lahir di syurga dan diwariskan kepada kita oleh Nabi Adam as dan Siti Hawa?


Cinta itu sumber kekuatan untuk memperjuangkan iman dan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat bahkan ke seluruh dunia. Cinta itu kuasa kerana ia terletak di dalam hati – raja yang paling berkuasa dalam kerajaan diri manusia.


Jika cintakan sesuatu, seluruh tenaga dan upaya akan ditumpukan untuk mencapai sesuatu yang dicintai itu.


Oleh kerana itu kita perlu berhati-hati kita mencintai dan dicintai. Kita perlu berhati-hati memilih kepada siapa yang hendak kita cintai. Pepatah Arab menyatakan, seseorang akan menjadi hamba kepada apa yang dicintainya. Cinta itu juga ‘buta’. Buta pada penderitaan demi merebut reda yang dicintainya. Syukur, jika hati kita mencintai Allah, kita akan menjadi hamba Allah dan diperhambakan kearah iman dan Islam. Alangkah ruginya, jika di hati kita bertakhta cinta musuh Allah, maka kita akan menjadi hamba kepadanya dan akan diperhambakan ke arah kejahatan dan kemungkaran.


Kata sesetengah orang, “hidupku untuk cinta.” Tetapi cinta kepada siapa? Jawabnya, pasti cinta kepada Allah. Firman Allah:   “Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat dzalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal).(2:165)”


Cinta Allah itu sumber segala kekuatan, kekayaan, ketenangan dan kejayaan. Manusia yang bercinta dengan Allah yang Maha Kaya (Al Ghani), akan mendapat kekayaaan jiwa yang tiada tandingannya. Manusia yang paling kuat ialah manusia yang mencintai Allah yang Maha Perkasa (Al Qawiy). Manusia yang jahil dan serba tidak tahu akan menjadi insan yang bijaksana  apabila berhubung cinta dengan Allah Yang Maha Berilmu (Alim).


Manusia yang cinta Allah punya kekuatan dan ketenangan untuk menghadapi kehidupan. Hidup mereka tidak akan diganggu gugat oleh rasa takut dan dukacita.  Firman Allah:“… kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa yang engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. “ Surah Al-Ahzaab, Ayat 51


Namun cinta kepada Allah tidak mungkin dicapai tanpa melalui cinta Rasulullah saw. Jika cinta Allah itu tujuan, maka cinta kepada Rasulullah itu adalah jalan. Tujuan tidak akan tercapai tanpa mengikut jalan yang betul. Ini ditegaskan sendiri oleh Allah melalui firmanNya: Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(3:31)


Seorang Arab Badwi  datang bertemu Rasulullah saw lantas bertanya, “bila berlaku Kiamat?” Rasulullah saw bertanya semula, “apa yang telah kau sediakan untuk menghadapinya?” Orang Arab Badwi itu menjawab, “aku menyediakannya dengan hati yang sangat cinta kepada engkau ya Rasulullah.” 


Rasulullah menjawab, “seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya di akhirat.”  Ketika mendengar jawapan Rasulullah itu, para sahabat Rasulullah sangat gembira. Malah ada kalangan mereka yang merasa seolah-olah hari itu adalah hari raya. Ini kerana mereka merasakan dengan ‘bermodalkan’ cinta… mereka boleh dikurniakan syurga!


Justeru kita perlu benar-benar mengenali Rasulullah saw melalui sirah dan sunnahnya. Tidak cukup hanya mengetahui dengan cara belajar, tetapi kita perlu mengenalinya dengan hatidengan cuba mempraktikan segala sunnahnya dalam reality kehidupan. Jika Rasulullah bersamaku, bagaimanakah rasa, kata dan tindakannya ketika berdepan dengan suasana ini? Begitulah, rasa hati yang seharusnya ada dalam hati kita sekiranya ingin benar-benar mengenali Rasulullah saw.

Sesungguhnya, mengetahui itu dengan akal, tetapi mengenali itu dengan hati. Mungkin telah banyak yang kita baca dari sirah Rasulullah, tetapi sejauhmana pula apa yang kita baca itu  meresap ke ke dalam hati untuk dirasai. Dengan cuba menteladani Rasulullah saw pada setiap masa, barulah kita diberi hidayah oleh Allah untuk benar-benar mengenali seterusnya mencintai  Rasulullah.

Setelah mencintai Allah dan RasulNya, kepada siapa lagi perlu kita cinta? Ya, kita boleh mencintai sesiapa dan apa sahaja dengan syarat niatnya kerana mencintai Allah. Dalam konteks ini Rasulullah saw telah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini: “ya Allah berikanlah cintaMu kepada ku, jadikanlah orang yang mencintaiMu mencintaiku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanmu.” 

Cinta  Allah itu sumber cinta semua dan segalanya. Justeru cintakan Allah, maka Rasulullah mampu mencintai isteri, anak-anak, cucu-cucu, menantu, sahabat-sahabat malah seluruh umatnya.  Rasulullah saw berkata kepada seorang sahabatnya, Muaz bin Jabal: “Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: ” Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untk memperbaiki ibadah kepada-Mu.”


Jika Rasulullah mencintai Muaz kerana Allah, maka kita juga mesti mencintai orang lain kerana Allah. Mencintai seseorang kerana Allah dan RasulNya, juga dikira mencintai Allah. Namun, adalam apa jua keadaan sekalipun  kecintaan kepada makhluk tidak boleh melebihi cinta kita kepada Allah dan RasulNya. Firman Allah: ”Jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, istri-istri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.(9:24)”


Cinta kepada manusia kerana Allah adalah cinta yang suci. Cinta itulah yang menyatu dua hati dengan mantap dan serasi. Cinta itulah yang menyatukan kaum Muhajiri dan Ansat. Firman Allah: “Dan orang-orang yang telah menempati Kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. ”.(59:8-10)


Sejarah menunjukan bagaimana Rasulullah saw telah mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar dengan cinta Allah. Hasilnya? Persaudaraan antara kedua golongan ini sangat luar biasa kukuhnya. Saad bin Rabi’ Al Ansari (Ansar) telah berkata kepada saudaranya Abdul Rahman bin Auf (muhajirin), “ Sungguh aku adalah orang yang paling kaya di antara kaum Ansar. Aku berniat membahagi harta ku menjadi dua bahagian, untukku dan untuk mu. Aku juga mempunyai dua orang isteri, ambillah yang lebih kau sukai. Sebutkan namanya pada ku, nanti ku talaknya. 


Jika masa idahnya telah habis, nikahilah dia.” Abdul Rahman menjawab,” semoga Allah memberkati keluarga dan harta mu. Mana pasar kalian? “Dia lalu menunjukkan pasar. Abdul rahman berdagang, berusaha, menikah dan akhirnya menjadi salah seorang terkaya di Madinah. (Riwayat  Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah).


Bermula detik itu kota Madinah dipenuh oleh cahaya cinta – cinta  Allah, cinta Rasullullah dan sesama Islam. Justeru, Rasulullah saw menegaskan bahawa mukmin sejati yang layak ke syurga ialah mereka yang mencintai saudara Islamnya. Rasulullah s.a.w menegaskan: “Demi zat yang diri ku ditangan-Nya, kamu tidak masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak beriman sehingga kamu saling mencintai. Mahukah kamu ku tunjukkan sesuatu yang membuat kamu saling mencintai? Sebarkanlah salam antara kamu.” 


Rasulullah saw bersabda lagi: “ Cintailah manusia seperti kamu mencintai diri mu sendiri, maka kamu menjadi muslim.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mengapakah cinta Allah boleh menyatukan manusia? Ini kerana manusia yang cinta Allah mampu melawan hawa nafsunya yang terlalu mementingkan diri. Sifat takbur, sombong, angkuh, tamak, hasad dengki, pemarah adalah punca kepada perpecahan.  Tanpa cinta Allah tidak akan ada kasih-sayang sesama manusia.


Firman Allah:“Engkau tidak akan menemukan satu kaum pun yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian menjalinkan hubungan kasih dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul, meskipun orang itu ayah mereka atau anak mereka atau saudara mereka atau keluarga mereka.” Al-Mujadalah: 22.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:“Tidak sempuma iman seseorang kamu hingga dia mengasihi saudara Islamnya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.”


Inilah kerangka asas  bagaimana usaha ke arah mengujudkan sebuah ‘negara cinta’. Apabila semua hati dipenuhi oleh cinta Allah dan setiap diri menegakkan syariat-Nya, maka kehidupan rakyat dalam sebuah negara akan dihiasi oleh akhlak Islamiah.


Cinta kepada Allah dan cinta sesama manusia akan menyebabkan si kaya bersyukur, yang miskin bersabar, suami menyayang, isteri setia, anak-anak taat, majikan adil dan pekerja yang rajin. Bila kadar cinta dan kasih sayang meningkat dalam sesebuah negara, insya-Allah kadar jenayah, penceraian, rasuah, gejala sosial akan menurun dengan sendirinya. Mana mungkin itu berlaku sekiranya orang Islam mencintai saudara Islamnya seperti mencintai dirinya sendiri?


Marilah kita membina ‘negara cinta’ – negara di mana kita saling  menabur bakti dan manfaat sesama kita. Di negara ini kita akan membina sikap saling hormat-menghormati, menghargai, bantu-membantu dan saling berkasih sayang. Sabda Rasulullah: “Orang mukmin itu ialah yang selamat orang lain daripada lisan dan tindakannya.”


Biarlah negara itu menjadi bayangan syurga yang mana setiap rakyat tidak kira Islam atau pun bukan Islam dapat menikmati ‘rahmat untuk sekalian alam’ selaras misi kedatangan Nabi Muhammad saw. Ya, ‘negara cinta’ seperti yang pernah tertegak di Madinah Al Munawwarah pada zaman Rasulullah saw dan para sahabatnya.


Perjalanan untuk menujunya bermula dengan pembinaan cinta Allah di dalam diri, kemudian keluarga. Firman Allah:
“Selamatkan diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.”

Ungkapan yang terkenal: “tegakkan Islam dalam dirimu nescaya tegak Islam dalam negaramu.” Membina cinta Allah dalam diri dan keluarga  adalah satu tapak dalam perjalanan yang panjang itu. Mariah kita melangkah, kerana Allah menilai setiap usaha sebaik sahaja kita memulakan perjalanan… Insya-Allah, Allah akan kurniakan kita kebahagiaan kerana sesungguhnya, kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan tetapi di sepanjang jalan.

Jalan menuju negara cinta dimulakan dengan membina cinta di dalam diri dan  keluarga!


Hamba Allah yang daif,
Pahrol Mohamad Juoi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan