Salah satu daripada mukjizat yang diberikan oleh Allah swt pada Nabi
Sulaiman a.s. adalah tertulis pada cincinnya namanya dan nama Allah swt.
Adapun setiap sesuatu yang tertulis padanya nama para Nabi dan nama
Allah tidak boleh dibawa ke sebarang tempat seperti tempat-tempat yang
hina seumpama tandas, tempat-tempat maksiat dan seumpamanya juga tidak
boleh dipakai ketika tidur dan ketika berhadas besar.
Kerajaan Nabi Sulaiman a.s. masyhur serta luas kekuasaannya sehingga
anginpun tunduk atas segala perintahnya. Maka ini memudahkan Nabi
Sulaiman a.s. untuk pergi ke suatu tempat yang dihajati dengan tidak
perlu berkenderaan. Cukup sekadar memerintahkan angin membawanya terbang
di atas permaidani sekiranya baginda yang diiringi oleh
pembesar-pembesar kerajaannya mahu menziarahi daerah kekuasaan baginda
yang luas itu.
Pada suatu hari, Nabi Sulaiman a.s. bersama pembesar-pembesar
kerajaannya pergi menziarahi salah sebuah daerah kekuasaan baginda
dengan berkenderaan permaidani yang diterbangkan angin sehingga baginda
melalui sebuah perkampungan nelayan yang terletak di tepi laut. Ketika
itu kelihatan penduduknya sedang menjemur ikan. Di antaranya terdapat
gadis-gadis yang turut serta menjemur ikan. Dari kalangan para gadis
itu, ada seorang gadis yang amat hitam rupanya dan tidak menarik
perhatian kaum lelaki.
Apabila Nabi Sulaiman a.s. dan para pembesarnya melalui tempat itu,
maka penduduk kampung menjadi kehairanan kerana tiba-tiba sahaja cuaca
menjadi redup. Lalu merekapun mendongak dan mendapati rombongan Nabi
Sulaiman a.s. sedang melalui kawasan itu.
Sedang mereka dalam keadaan itu, berkatalah gadis yang hitam rupanya
tadi: “Alangkah bahagianya aku sekiranya aku menjadi permaisuri Nabi
Sulaiman a.s.”
Apabila teman-temannya yang lain mendengar ucapan gadis itu, mereka
lalu mentertawakannya dan mengejeknya dengan kata-kata menghiris hati:
“Wahai gadis tidak tahu diri, sesungguhnya hasratmu sekadar impian.
Rupamu yang hitam langsung tidak menarik perhatian. Inikan pula mahu
bersuamikan Nabi Sulaiman yang hebat kedudukannya. Sedangkan kami yang
mempunyai wajah menarik tidak bercita-cita untuk menjadi permaisuri
baginda. Apakah engkau tidak sedar bahawa orang-orang lelaki di kampung
kita inipun belum tentu mahu beristerikan engkau yang hitam legam lagi
tidak menarik hati? Cukuplah engkau berangan-angan!” Riuh rendahlah
suara mereka mentertawakan si gadis hitam tadi.
Mendengarkan cemuhan dan hinaan mereka, merasa sayulah hati gadis
yang malang itu. Dirinya ibarat pungguk merindukan bulan. Rupa yang
buruk tidak dipinta. Akhlah yang baik lebih utama.
Setelah Nabi Sulaiman a.s. bersama pembesar-pembesarnya selesai dari
menjelajah ke daerah kekuasaan baginda, merekapun balik ke rumah
masing-masing.
Setibanya Nabi Sulaiman a.s. di istananya, baginda berhajat untuk ke
tandas. Sebelum itu, baginda melucutkan cincin yang bertuliskan nama
Allah dan namanya, lalu diserahkan pada isterinya.
Pada masa itulah datang jin Ifrit menyerupakan
dirinya sepertimana Nabi Sulaiman a.s, lalu menemui isteri baginda dan
berkata: “Wahai isteriku, ambilkan cincinku tadi.” Tanpa merasa ragu,
isteri baginda menyerahkan cincin itu pada Ifrif kerana menyangka
dirinya Nabi Sulaiman a.s.
Apabila Nabi Sulaiman a.s. selesai melepaskan hajatnya, baginda
meminta dikembalikan cincinnya tetapi isterinya berkata: “Sesungguhnya
telah aku kembalikan sebentar tadi.” Nabi Sulaiman a.s. diam kehairanan.
Kemudian baginda berkata: “Baru inilah aku meminta kembali cincin itu.”
Tetapi isteri baginda tetap mengatakan bahawa ia telah diserahkan.
Nabi Sulaiman a.s. merasa serba salah dan curiga. Kemungkinan cincin
itu telah dicuri oleh seorang yang menyamar sebagai diri baginda kerana
isterinya tidak mempunyai alasan untuk menyerahkan barang kepunyaannya
kepada sesiapapun jua.
Adapun Ifrit setelah ia mencuri cincin tersebut, iapun masuk ke dalam
istana kerajaan dan duduk di singgahsana sambil memerintah rakyat Nabi
Sulaiman a.s. ke istana dan mendapati seorang yang menyerupai dirinya
duduk di atas singgahsana. Maka fahamlah baginda kedudukan perkara.
Lalu baginda berkata: “Wahai rakyatku sekalian, sesungguhnya akulah Sulaiman, raja kamu yang sebenar.”
Jawab rakyatnya: “Tidak, raja itulah yang sedang memberi ucapan. Kamu
bukan raja kami. Raja Sulaiman yang sebenar adalah dia yang duduk di
kerusi singgahsana. Kamu pendusta!”
Apabila rakyatnya tidak percaya lagi pada baginda, maka baginda pun
pergi meninggalkan istana, menuju dari sebuah perkampungan ke
perkampungan yang lain dan menyatakan dirinya sebagai Raja Sulaiman
tetapi kesemua mereka menafikannya.
Akhirnya baginda pergi ke sebuah kampung nelayan yang terletak di
tepi laut, lalu baginda menyatakan hajatnya untuk turut bekerja sebagai
nelayan kepada seorang nelayan di tempat itu. Nelayan itu menerima hajat
baginda tanpa menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Raja
Sulaiman.
Nabi Sulaiman a.s. menjalani kehidupannya sebagai seorang nelayan
dengan baik dan baginda bekerja bersungguh-sungguh tanpat mengenal jemu
dan penat sehingga menghasilkan pendaptan yang lumayan dengan nelayan
itu.
Pada suatu hari, ketika baginda duduk berehat menunggu waktu makan tengahari, baginda tertidur oleh sebab keletihan.
Tidak lama kemudian, datanglah anak gadis nelayan tersebut membawa
makanan tengahari. Berkata si nelayan kepada anaknya: “Wahai anakku,
panggillah Sulaiman untuk makan tengahari bersama kita.”
Gadis tersebutpun pergilah mendapatkan baginda yang sedang tidur
sambil dikipas oleh seekor ular dengan sehelai daun. Alangkah
terkejutnya gadis itu melihat keadaan yang luar biasa ini, lalu segera
dikhabarkan kepada ayahnya. Apabila si nelayan menyaksikan sendiri
perkara itu, ia pasti baginda bukan sebarangan orang tanpa mengesyaki
baginda adalah raja Sulaiman. Mereka meninggalkan baginda sendirian
sehingga akhirnya baginda terjaga dari tidurnya dan merekapun menghadapi
hidangan tengahari bersama-sama.
Setelah beberapa lama Nabi Sulaiman tinggal nelayan, maka nelayan itu
bermaksud untuk mengahwinkan anaknya dengan baginda. Nabi Sulaiman as
tidak pula menolak kehendak nelayan itu. Maka hiduplah Nabi Sulaiman
a.s. bersama gadis hitam yang pernah bercita-cita untuk menjadi
isterinya suatu masa dahulu sebagai suami isteri yang sah tanpa gadis
itu menyedari bahawa Tuhan telah menjadikan impiannya suatu kenyataan.
Manakalah di istana yang telah ditinggalkan baginda, Ifrit menyamar
sebagai Nabi Sulaiman as memberikan pengajaran yang menyesatkan manusia.
Berpunca dari amarannya yang jahat itu, Ifrit tidak sanggup menyimpan
cincin baginda yang dicurinya itu, kerana khianatnya cincin itu lalu
dicampakkannya ke dalam laut yang kemudiannyaditelan oleh seekor ikan.
Ifrit meninggalkan takhta kerajaan. Ketika itulah orang ramai baru
menyedari kepalsuan orang yang selama ini mengaku dirinya Raja Sulaiman
rupanya jin yang menyamar sebagai baginda.
Segala sesuatu hanya Allah swt yang menentukan.
Sebagaimana biasa, nelayan dan Nabi Sulaiman as keluar menangkap ikan
sebagai memenuhi keperluan hidupnya. Kebetulan pada hari itu, masuklah
ikan yang menelan cincin Nabi Sulaiman as ke dalam pukat mereka.
Menjelang senja, kembalilah mereka ke rumah. Sebahagian daripada ikan
yang ditangkap hari itu mereka jemur manakala sebahagian lagi dijadikan
hidangan makan malam.
Tatkala isteri baginda menyiang ikan yang akan dimasak malam itu,
tiba-tiba ditemui dalam perut ikan itu sebentuk cincin yang bertuliskan
nama Nabi Sulaiman as dan nama Allah.
Segeralah isteri baginda mengkhabarkannya. Demi melihat baginda akan
cincin itu, baginda terus mengucap syukur sebanyak banyaknya kepada
Tuhan kerana haknya telah dikembalikan tanpa ia duga sementara rasa
kasih terhadap isterinya semakin bertambah.
Setelah cincin itu disarungkan, barulah rakyat baginda meyakini bahawa baginda adalah sebenarnya Raja Sulaiman.
Nabi Sulaiman as bermaksud untuk kembali ke istana dan melihat
keadaan rakyat baginda yang telah lama ditinggalkan. Baginda juga
berhasrat untuk membawa isteri baginda bersama-sama tetapi merasa
keberatan kerana ditakuti isterinya akan menjadi bahan ejekan berpunca
dari kehitaman rupanya itu. Baginda lalu berdoa kepada Allah Taala
supaya mengubah rupa isterinya yang hodoh itu menjadi cantik. Doa
baginda dimakbulkan sehingga merasa cemburulah teman-teman yang pernah
menghina dan mengejek isterinya dahulu.
Baginda beserta isterinya kembali ke istana dengan disambut meriah oleh rakyat jelata yang telah menyedari kesilapan meraka.
Kemudian pada suatu hari, dikumpulkanlah sekalian rakyatnya, baik dari golongan manusia, jin
dan juga binatang kerana Nabi Sulaiman ingin mengetahui siapakah yang
telah mencuri cincin baginda dan menyesatkan rakyat dengan perbuatan
durjana. Sesiapa yang telah melakukan kesalahan pasti takut untuk
bertemu dengan baginda.
Setelah sekalian rakyat berkumpul, ternyata yang tidak hadir aalah jin
Ifrit. Dengan ini, diisytiharkan bahawa Ifritlah yang telah mencuri
cincin baginda. Mendengar kenyataan ini, merasa marahlah golongan jin
terhadap Ifrit kerana telah memalukan bangsa mereka di khalayak ramai.
Lalu Nabi Sulaiman as memerintahkan beberapa orang bangsa jin untuk
menangkap Ifrit. Bangsa jin yang diperintah itu segera pergi mencari
tempat persembunyian Ifrit.
Akhirnya ditemui Ifrit bersembunyi di batu karang di dasar lautan.
Ifrit lalu dihadapkan kepada Nabi Sulaiman as dan baginda menghukum
sesuai dengan kesalahannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan