Rabu, 4 Julai 2012

Manusia Ajaib


SUATU ketika sedang Nabi saw bersiap untuk ke medan perang Uhud, seorang lelaki bernama Amar bin Tsabit bin Waqsy Asyhali datang menemui baginda. Beliau telah meminta Nabi menerimanya masuk Islam dan terus ingin ikut serta berperang bersama Nabi dan kaum muslimin.

Amar ini diketahui baginda akan keangkuhannya. Dia berasal dari Bani Asyhali dan seluruh kaumnya telah memeluk Islam dengan didahului tokoh terkenal mereka Saad bin Muaz. Amar tidak menyertai kaumnya dan keangkuhan jahiliyyah dalam jiwanya begitu menonjol.
”Kalau aku tahu kebenaran yang kamu kemukakan itu sudah tentu aku tidak akan terkemudian mengikutinya,”

Begitulah jawapan Amar apabila diajak oleh kaumnya menyertai mereka di dalam Islam. Kaum muslimin di Madinah juga mengetahui sikap Amar itu yang seolah-olah tertutup pintu hatinya untuk menerima cahaya Islam dan dia sanggup terasing bersendirian.

Nabi menyambut kehendak Amar dengan gembira. Lebih-lebih lagi dia rela akan maju bersama Nabi ke medan perang membawa bersama pedangnya yang terkenal tajam.
Inilah peristiwa terjadi dengan tiba-tiba dan suatu keajaiban, sedangkan kaumnya dan orang ramai masih belum mengetahui kejadian itu kerana masing-masing sibuk menyiapkan bekalan peperangan.

Di medan perang Uhud yang hebat itu, Amar memperlihatkan keberaniannya. Maju ke depan sebagai mujahid, maju dan terus maju sampai saatnya dia terkena pukulan musuh dan terjatuh lalu pengsan. Dalam keadaan antara hidup dan mati itu seorang datang menyelamatkan dan dia menjadi terkejut.

”Untuk apa kau ikut ke mari, ya Amar?” tanya orang itu menyangka masih belum Islam hanya terikut-ikut orang ramai ke medan perang.

”Aku sudah beriman kepada Allah dan Rasul. Kerana itu aku berperang. Allah akan memberikan ‘syahadah’ padaku dalam waktu yang tidak lama lagi,” menjawab Amar sebelum rohnya diangkat menghadap hadirat Allah.

Ketika berita kematiannya sebagai pahlawan syahid sampai ke pengetahuan Nabi, baginda terus berkata :

”Amar itu akan berada di syurga,”
Maka barulah kaum muslimin yang lain mengetahui akan peristiwa Amar itu dengan penuh takjub kerana mereka tidak menduganya begitu akhirnya hayat Amar. Malah Abu Hurairah ra sahabat yang banyak mengetahui hadis telah berkata kepada kaum Muslimin,
”Cuba kamu katakan padaku siapakah orang yang masuk syurga sedangkan dia tidak pernah solat sekalipun terhadap Allah,”

”Jika kamu tidak menjawabnya, baiklah aku berikan jawapannya.
”Dia itulah Amar bin Tsabit bin Waqsy ra – keredaan Allah melimpah padanya.
Demikianlah jika kehendak Allah, seorang manusia ajaib yang terus masuk syurga tanpa dia pernah solat, puasa dan lain-lain. Tiba-tiba kerana melihatkan persiapan untuk peperangan oleh kaum muslimin, hatinya tergerak untuk memeluk Islam dan langsung menemui Nabi. Setelah menjadi muslim dia bersedia maju ke medang perang, memerangi musyrik sebagai mujahid yang berani.

Akhirnya dia tewas dan mendapat pengakuan dari Nabi sebagai orang yang mati syahid di medan perang bagi membela Islam. Begitulah Nabi menjamin syurga bagi orang yang seperti Amar ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan