Sabtu, 7 Julai 2012

untuk menantu


Assalamualaikum warah matuallahi wabarakatuh


Anakku,


Hari ini hari bersejarah untukmu,


Kau telah dihijab kabulkan dengan anak perempuanku,


Kini tanggungjawab ayah telah berpindah kepadamu,


oleh itu terimalah anak ayah seadanya.

terimalah dengan hati yang penuh reda.

Didiklah dia dengan sebaik-baiknya,

berlemah lembutlah jika kau menasihatinya,

kerana sesungguhnya lemah lembut adalah hikmah yang paling baik,

berilah kasih sayangmu kepadanya nescaya dia akan membalas kasih sayangmu.

Anakku,

Pastikan aurat isterimu terpelihara ketika keluar rumah,

tidak berhias dan berbau-bauan kepada bukan mahramnya.

kerana jika auratnya terdedah kau akan ditanya oleh Allah SWT
di akhirat nanti.

Berilah nafkah zahir dan batin sekadar kemampuanmu,

kerana setiap ringgit yang kau gunakan untuk keluargamu merupakan sedekah disisi Allah SWT.

Carilah rezeki yang halal kerana keluar  bekerja mencari nafkah seumpama berjihad dijalan Allah SWT.

Berikanlah ilmu agama pada isterimu,

Jika kau tidak mampu ajaklah dia ke masjid supaya ada guru yang mendidiknya.

Anakku,

Kau telah terpilih menjadi nakhoda bahtera kehidupanmu,

Maka teruskan perjalananmu dengan berhati-hati supaya tidak tersesat diperjalanan,

Jika tersalah haluan kembalilah kepangkal jalan.

Ambillah panduan al-Quran dan sunah Nabi-Nya

nescaya kau tidak akan sesat selama-lamanya.

Jauhkan daripada bisikann syaitan dan nafsu amarahmu

kerana kedua-duanya boleh menyebabkan kau lari daripada rahmat Allah SWT.

Hidup berumah tangga tidak sama semasa bujang,

kini kau perlu berkongsi segala-galanya.

Ranjau, onak dan duri perlu diharungi bersama.

Banyakkan bersabar dan bertenang dalam kau membuat keputusan,

jangan mudah berkeras dengan pendapat sendiri, banyakkan berbincang kerana sesungguhnya bersyura banyak menfaatnya.

Anakku,

Jika kau izinkan dia bekerja pantau pergaulannya supaya sentiasa tidak terkeluar daripada batasan syarak.

Bersikap tegas dan lemah-lembut terhadap isterimu kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan  luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya.

Berilah pujian terhadap isterimu kerana wanita suka dipuji dan  berilah hadiah ketika menyambut hari kelahirannya demi mengeratkan kasih sayang.

Nabi SAW sering memberi hadiah kepada isteri-isteri baginda.

Anakku,

Laut tidak sentiasa tenang, ada pasang surutnya.

Begitu juga kehidupan berumah tangga, adakala gembira ada kalanya bergelora.


Jika kau dapati isterimu menderhakaimu,

maka berilah nasihat yang baik kepadanya, 

jika tidak berkesan pisahkan tempat tidurmu,

jika masih tidak berhasil maka pukullah sekadar mengingatkannya bukan untuk mencederakannya.

Carilah pendamai yang baik , bertolak ansurlah kerana tidak rugi jika kau mengalah dalam perkara-perkara kecil.

Sesungguhnya Allah merahmati  suami yang sabar dan tenang mengatasi krisis rumah tangganya.dan mengelakkan perceraian.

Anakku,

Ayah sentiasa mendoakan kesejahteraanmu sekeluarga insya Allah berkekalan hingga bertemu di syurga.

Oleh itu jauhkan dirimu dan ahli keluargamu daripada seksaan api neraka.

Doa ayah untukmu berdua : “ Semoga Allah menghimpunkan yang terserak dari keduanya, memberkati mereka berdua dan kiranya Allah meningkatkan darjat keturunan mereka menjadi pembuka rahmat, sumber ilmu dan hikmah serta pemberi rasa aman bagi umat “

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan