Isnin, 2 Julai 2012

Kenderaan Awam


Ramai rakyat negara ini  keliru tentang peranan pengangkutan awam termasuk para pemimpin politik baik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang. Industri pengangkutan awam bukanlah  sektor yang harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Industri ini selain menjana ekonomi negara, ianya juga cerminan kepada status maju mundurnya sesebuah negara itu. Pengangkutan awam bukan sekadar menyediakan kaedah atau prasarananya akan tetapi ianya perlu kepada suatu sistem yang efisen, murah, selesa dan bersepadu.

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak turun ke stadium Bukit Jalil pada 24 Julai lalu semata-mata mahu melakukan penyerahan baucher bernilai sebanyak RM520.00 kepada pemandu teksi, ramai melihatnya sebagai usaha untuk memenangi hati pemandu teksi dalam menghadapi pilihanraya ke-13.  Itulah persepsi umum dalam senario hangat menghadapi pilihanraya.

Himpunan pemandu teksi di Bukit Jalil adalah ekoran daripada pertemuan antara Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemandu teksi Lembah Kelang beberapa bulan  sebelumnya. Dalam pertemuan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjanjikan akan mengeluarkan banyak lagi permit teksi kepada individu (bukan syarikat), sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.

Saranan beliau mendapat sokongan daripada Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden Pas seperti kenyataan beliau, “Pemandu teksi perlukan permit, bukan tayar,” sebagai respons kepada program Datuk Najib di Bukit Jalil.

Jelas sekali kedua-dua pihak kurang arif atau mengerti peranan sebenar pengangkutan awam dalam sesebuah negara, apa lagi peri pentingnya dalam  sebuah negara maju.  Pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh pengusaha pengangkutan dalam negara ini tanpa tindakan positif  pihak berwajib mungkin tidak sampai ke pengetahuan kedua-dua pemimpin ini.

Pemberian baucer untuk pembelian tayar adalah bantuan jangka pendek. Apa lagi kalau diberi ‘one-off’ sahaja. Ianya tidak membantu dalam jangka panjang, jauh sekali menyelesaikan permasalahan yang berpanjangan. Akan tetapi memberi perlindungan insuran kepada pemandu teksi adalah sesuatu yang wajar dan harus dihargai.

Namun demikian, bantuan ini tidak menjurus ke arah penyelesaian permasalahan pengangkutan awam yang semakin kalut sekarang ini, apa lagi mahu mewujudkan sebuah sistem pengangkutan awam yang bersepadu.

Insuran

Harus diingat  pemandu teksi yang tidak dilindungi insuran adalah terdiri daripada pemilik permit persendirian. Manakala kebanyakan  syarikat-syarikat teksi memberi perlindungan insuran percuma kepada pemandu/penyewa mereka, kecuali Socso atau  KWSP. Malah ada yang memberi tayar percuma berasaskan kepada ketepatan bayaran sewa dan prestasi pemanduan yang baik dan amanah.

Sesebuah negara bukan sahaja harus mementingkan kebajikan rakyatnya termasuk pemandu teksi, tetapi yang paling utama ialah urus tadbir yang cekap, amanah dan proaktif. Dalam konteks  pengangkutan awam, sesebuah negara harus mempunyai sistem pengangkutan awam yang  efisen, cekap dan murah.

Bayangkan negara kita yang akan meraikan hari kemerdekaan yang ke-55 tahun Ogos ini, masih belum mewujudkan sebuah dasar pengangkutan negara sebagai asas  membina sistem pengangkutan awam yang diyakini rakyat. Kalau negara ada dasar wanita, dasar sosial, dasar automobil negara dsb, kenapa tidak diwujudkan sebuah dasar pengangkutan sebagai pemacu kepada perkembangan  industri ini?

Desakan untuk mewujudkan dasar pengangkutan telah disuarakan oleh persatuan-persatuan bas, teksi dan lori semenjak 20 tahun lalu. Namun desakan atau saranan itu tidak mendapat tindak balas yang positif daripada kerajaan. Walaupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diwujudkan sebagai usaha untuk memantau perkhidmatan industri ini, namun kewujudan SPAD tidak membawa perubahan yang diharap seperti dijangkakan.

SPAD tidak membawa apa-apa perubahan. Pengusaha masih terpaksa berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan dalam industri ini. Tidak kurang 13 agensi kerajaan terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri ini. Harapan pengusaha supaya sebuah agensi saja bertanggungjawab dalam pengendalian industri pengangkutan tidak menjadi kenyataan.

Sebailknya SPAD hanya menggantikan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dengan fungsi dan cara urus tadbirnya masih kekal, tanpa perubahan.  Birokrasi yang menyusahkan, kelemahan serta kepincangan urus tadbirnya masih seperti LPKP dulu. SPAD kelihatan seperti  mengganti  baju LPKP sahaja, tidak lebih daripada itu.

Tidak ada komitmen serta iltizam yang bersungguh-sungguh  daripada SPAD untuk mewujudkan sebuah dasar pengangkutan awam sebagai panduan kepada para pemain industri ini dan pihak kerajaan.

Walaupun SPAD berjanji akan mengeluarkan sebuah Pelan Induk (Master Plan) pada September 2011, namun sehingga hari ini Pelan Induk itu masih belum di umumkan. Tidak pasti sama ada Pelan Induk itu sudah siap atau masih lagi dalam perancangan untuk merangkanya.

Tanpa dasar pengangkutan yang sempurna maka berlakulah pelbagai karenah dan masalah dan ianya  terus berpanjangan tanpa penyelesaian. Sehingga ke hari ini permasalahan ini semakin menimbun dan menjadi kalut  menyebabkan terbantutnya pewujudan sistem pengangkutan awam yang cekap, sempurna, murah, selesa dan efisen. Tidak pernah wujud di negara kita suatu sistem pengangkutan awam pun, yang ada ialah kecelaruan perkhidmatan pengangkutan awam yang haru biru.

Perkhidmatan bas berhenti-henti, bas ekspres, teksi bandar, kereta sewa dan yang seumpamanya semakin hari semakin menurun prestasi mereka. Beberapa buah syarikat bas berhenti-henti telahpun memberhentikan dan menutup perniagaan mereka.

Di Melaka kesemua syarikat bas berhenti-henti telah menyerahkan perkhidmatan mereka kepada kerajaan negeri Melaka. Namun perkhidmatan di bawah kendalian kerajaan Melaka (Panorama) juga semakin teruk, tidak menunjukkan peningkatan perkhidmatan seperti diharapkan.
Kegagalan

Di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang Rapid menjalankan perkhidmatan ini, akan tetapi mutu perkhidmatannya masih jauh daripada memuaskan. Malah Rapid dan Panorama di Melaka mengalami kerugian yang bukan sedikit hasil pengendalian perkhidmatan ini.

Tanpa dasar pengangkutan yang jelas maka berlakulah lambakan permit di pasaran mengikut kehendak dan kemahuan  menteri yang berkuasa. Pengeluaran permit selalunya dilakukan mengikut kepentingan politik menteri berkenaan bukan kerana keperluan iaitu mengikut konsep ‘supply and demand.’ Tidak ada kajian atau penyelidikan secara menyeluruh dilakukan sebelum permit dikeluarkan.

LPKP tidak pernah mewujudkan bahagian R & D, (Research & Development) sebagai badan yang membuat kajian dan penyelidikan tentang keperluan dan pembangunan pengangkutan awam. Begitu juga SPAD tidak mewujudkan R & D ini dalam organasasinya.

Pengeluaran dan pemberian permit pengangkutan awam bukan seperti mengeluarkan permit kepada peniaga pasar malam dan penjual burger. Setiap pengeluaran permit pengangkutan awam mesti ada justifikasinya berdasarkan keperluan mengikut nisbah penduduk.

Faktor lain ialah pertindihan laluan, pemilikan kenderaan persendirian, dasar majlis tempatan terhadap pengangkutan awam dan persendirian dan yang berkaitan dengannya. Pengeluaran permit tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa kajian; bukan berdasarkan  kuasa menteri semata-mata.

Sekarang ini terdapat sebanyak 30,000 buah teksi telah dilesenkan di Lembah Kelang. Jumlah ini jika dinisbahkan dengan penduduk di Lembah Kelang yang seramai lebih kurang 1.5 juta orang ada kewajarannya. Akan tetapi apabila diambil kira faktor lain seperti milikan kereta persendirian yang puratanya sebuah rumah memiliki 3 buah kenderaan, maka angka ini amat berlebihan daripada keperluan dan permintaan. Justeru kerana itu amat sukar bagi pemandu teksi mencari nafkah dalam keadaan teksi yang berlebihan daripada penumpang.

Teksi bersusun

Ini terbukti dengan fenomena teksi bersusun-susun menanti penumpang, tidak lagi penumpang menunggu teksi seperti 20 tahun dulu. Maka timbullah pelbagai karenah pemandu teksi yang mahu mendapat pendapatan lebih dengan memilih penumpang dan mengenakan tambang berlebihan.

Sebelum LPKP ditutup, sekitar 10,000 permit teksi lagi telah dikeluarkan kepada individu. Daripada jumlah ini bukan semua permit itu dilesenkan kerana masalah pemegang permit individu yang tidak ada modal, tidak mendapat pinjaman bank kerana disenarai hitam dan ada yang mengambil jalan mudah memajakkan permit itu kepada pihak lain.

Tidak kurang pula yang datang kepada syarikat-syarikat teksi minta pertolongan mengeluarkan teksi-teksi berkenaan dan kemudian memajaknya semula. Ramai pula di antara mereka ini yang tidak melunasi pinjaman/sewaan mereka kepada syarikat teksi, walaupun setelah dibantu.

Amat dikesali sekali ‘sweeping statement’ oleh PM Najib mengatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan konsep pajakan yang mengikut beliau adalah suatu ‘penghambaan moden.’ Kenyataan ini tidak tepat sekiranya kita lihat bukti yang dipaparkan di atas. Perlu diingat syarikat teksi memerlukan modal yang besar untuk dilabur dalam industri ini selain bertanggungjawab kepada pinjaman dengan institusi kewangan.

Sekiranya dilihat dari aspek penyewaan, kemungkinan sewanya amat tinggi dan berlipat ganda. Namun dalam industri ini segala kos kemungkinan seperti ‘thehidden cost’ perlu ada dalam perkiraan penyewaan kerana kebarangkalian penyewa tidak membayar sewa, membaraikan komponen teksi dan menjualkannya kepada pihak ketiga, kemalangan ‘total lost’, ‘pemandu membuat angkara seperti menggunakan teksi itu menjual dadah atau mengangkut pendatang tanpa izin, maka kerugian ini seharusnya diambil kira.

Kerajaan perlu ada suatu dasar yang jelas berkaitan pemberian permit pengangkutan awam termasuk teksi. Pada suatu ketika dulu LPKP menggunakan kadar 60% untuk syarikat teksi dan 40% diperuntukkan untuk individu.

Nisbah ini kemudian bertukar menjadi sebaliknya apabila pihak pembangkang menjanjikan pemberian permit kepada individu. Kelihatan ketetapannya tidak konsisten, tetapi menjadi pragmatik apabila berhadapan dengan isu dan kepentingan politik. Bukan berdasarkan kajian.

Dalam konteks perkhidmatan bas berhenti-henti dan ekspres kerajaan juga mesti mempunyai dasar yang jelas. Adakah kerajaan mahu terlibat secara langsung dalam bidang pengangkutan awam atau membiarkan sahaja pihak swasta mengendalikannya. Nampaknya apa yang berlaku sekarang ialah kerajaan mahu melibatkan diri secara langsung dalam industri ini seperti mewujudkan Rapid KL, Rapid Penang, Panorama di Melaka dan juga agensi-agensi kerajaan seperti MARA yang menjadi salah satu pemain besar.

Rapid KL diwujudkan setelah konsep konsortium diperkenalkan yang diketuai oleh dua konglomerat iaitu Parkmay dan Intrakota gagal dalam menjayakan konsep ini. Kedua-dua syarikat itu menanggung kerugian besar tidak sampai pun lima tahun beroperasi.

Sebab utama kegagalan dua syarikat ini ialah kos pengendalian (maintenancecost) amat tinggi dan semakin meningkat hari demi hari. Harga alatganti, minyak pelicir, tayar, bateri dan sebagainya tidak dikawal oleh kerajaan.

Manakala tambang bas dan teksi di bawah kawalan pihak kerajaan. Pengusaha tidak dibenarkan menaikkan tambang  walau sesenpun meskipun harga barangan alatganti melonjak naik. Tidak ada keseimbangan dalam kenaikan ini. Setiap kali kenaikan harga alatganti, maka akan berlaku penghakisan keuntungan sehingga mengalami kerugian pula.

Selain daripada itu pada masa yang sama LPKP mengeluarkan lagi banyak permit bas berhenti-henti di Lembah Kelang. Maka konsep ‘payung’ atau konsortium ini menemui kegagalan kerana sikap penguasa sendiri.

Terbukti bukan sahaja Parkmay dan Intrakota tutup kedai kerana kerugian, malah syarikat-syarikat bas lain seperti Muar Motor Bas, Eng Hiap, beberapa syarikat bas di sebelah utara, Sarawak dan Sabah sudah gulung tikar.

Salah satu sebab utama  ialah lambakan permit dalam industri ini tanpa kawalan. Pengusaha sedia ada terpaksa bersaing dengan pengusaha baru dan bertindih laluan. Maka terjadilah pesaingan yang tidak sihat seperti berebut penumpang, berlumba-lumba dan melanggar peraturan.

Pesaingan yang tidak sihat ini menjejaskan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, maka berlakukan ketepatan masa dan jarak masa yang tidak menentu. Formula pengangkutan awam yang efisen ialah, “punctually + frequency = efffeciency. Effeciency melahirkan relaibility iaitu keyakinan atau kepercayaan.

Tanpa perkhidmatan yang efisen  maka kepercayaan orang ramai akan luntur dan menyebabkan mereka mencari kaedah pengangkutan lain seperti membeli motosikal dan kereta. Ini akan menyebabakan kekurangan penumpang menggunakan pengangkutan awam.


Apa yang didambakan oleh pengusaha pengangkutan di negara ini ialah kawalan harga alatganti, minyak pelicir, tayar dan bateri dilaksanakan. Kawalan harga itu hanya dikhusukan untuk pengusaha pengangkutan awam sahaja. Atau kerajaan memberikan subsidi kepada harga alatganti ini atau kos se kilometer (cost per kilometer) seperti yang pernah dicadangkan oleh Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia.


Walaupun SPAD telah memberi bantuan kepada pengusaha bas berhenti-henti dalam skim terbarunya, namun bantuan itu tidak menyeluruh dan banyak birokrasinya. Ini juga merupakan bantuan jangka pendek kerana SPAD tidak mengemukakan perancangan menyeluruh penyelesaian permasalahan ini. Bantuan seperti ini, atau menaikkan tambang bukan penyelesaian sekiranya harga alatganti terus melonjak naik tanpa kawalan.

Suatu tindakan yang berkesan harus diambil sebelum banyak lagi syarikat bas gulung tikar. Bayangkan Nadi Corp, sebuah syarikat bas yang terbesar di negara ini yang memiliki lebih 1000 buah bas ekspres dan berhenti-henti pun sudah tidak boleh bertahan lebih lama lagi.

Kebarangkalian kebenaran dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ada syarikat-syarikat teksi mendapat permit teksi berdasarkan kroni, kemungkinan ada asasnya. Namun yang lebih parah lagi ialah syarikat-syarikat teksi bukan bumiputera memiliki lebih 1000 buah permit teksi  kerana ada ‘cable.’

Ada pengusaha bukan bumiputera yang sebelumnya tidak memiliki permit telah memperolehi 500 permit selepas berurusan di ‘pintu belakang.’ Banyak lagi syarikat teksi  memperolehi tambahan permit teksi antara 100-500 pada suatu ketika dulu.

Pemberian permit ini dikeluarkan tanpa apa-apa pun kajian dilakukan oleh pihak berkuasa. Akibatnya banyak teksi yang tersadai tanpa sesiapa menyewanya. Untuk mendapat penyewa pada masa ini amat payah sekali. Apalagi dengan lambakan permit kepada individu akan memburukkan lagi keadaan.

Rakyat perlukan suatu sistem pengangkutan awam yang bersepadu, murah, selesa dan efesien. Untuk ini sesiapa saja yang memegang tampuk kerajaan mesti berlitizam merangka dengan segera suatu sistem pengangkutan awam yang berkesan, bersepadu, selesa dan murah.

Pengangkutan awam bukan hanya melibatkan LRT atau MRT, malah ianya merangkumi pelbagai kaedah seperti beca, teksi, kereta sewa, bas ekspres dan berhenti-henti termasuk bas kilang dan sekolah. Semua kaedah pengangkutan ini perlu dikaji, disusun dan dirombak bagi menenutukan peranan masing-masing dalam industri ini. Pastikan sistemnya bersepadu iaitu berinteraksi di antara satu dengan lain bagi memudahkan penumpang.

Sistem ini akan mudah dilaksanakan sekiranya pihak penguasa mempunyai dasar pengangkutan awam yang jelas dan praktikal. Sekurang-kurangnya satu Pelan Induk dikemukakan sebagai projek jangka pendek.

Sistem pengangkutan awam menjadi faktor utama dan menjadi kayu ukur untuk mencapai kriteria sebagai negara maju. Justeru itu lambakan permit dan pemberian tayar bukan  penyelesaian, malah ianya menimbulkan lebih banyak kerumitan dan permasalahan. Oleh itu kenyataan dan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib tidak lebih daripada lemparan umpan untuk memancing undi. Rakyat perlukan pemimpin yang lebih praktikal, bukan bermain dengan retorik politik semata-mata.
--------------------------------------------------------------------
Penulis merupakan Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia, Presiden Persatuan Bas Negeri Melaka dan Pengusaha Syarikat Teksi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan