Khamis, 5 Julai 2012

Tusyen


MANILA: Ibu bapa di Asia membelanjakan berpuluh bilion ringgit menghantar anak mereka ke kelas tambahan persendirian dan amalan itu dilaporkan terus meningkat di sebalik keraguan terhadap keberkesanannya.
Menurut laporan Bank Pembangunan Asia (ADB) diterbitkan semalam, bisnes “pendidikan bayangan” bukan saja berkembang di negara kaya, tetapi turut berlaku di beberapa negara di rantau lebih miskin sebagai cubaan ibu bapa memberi pendidikan terbaik di peringkat awal anak masing-masing. Hampir sembilan daripada 10 pelajar sekolah rendah Korea Selatan mengikuti kelas tambahan persendirian, manakala jumlah untuk pelajar sekolah rendah di Bengal Barat, India adalah enam daripada 10.

“Kadar itu lebih rendah di negara lain, tetapi di seluruh rantau Asia, amalan itu berkembang pesat,” kata kajian itu.


ADB juga menggesa sistem pendidikan dikaji semula bagi menjadikan amalan pendidikan tambahan seumpama itu kurang menarik. Pembelajaran tambahan bertujuan membantu pelajar lemah dan mengukuhkan pelajar cemerlang, tetapi ia dilihat ibu bapa di Asia sebagai cara berkesan untuk anak-anak mereka menghabiskan masa lapang. Bagaimanapun, amalan itu juga mengurangkan waktu untuk pelajar bersukan serta aktiviti penting lain bagi menjamin pembangunan menyeluruh.

Ia juga menyebabkan berlaku ketegangan sosial apabila keluarga yang kaya mampu mendapatkan pendidikan tambahan lebih berkualiti. Dianggarkan kos kelas tambahan persendirian di Korea Selatan menyamai 80 peratus perbelanjaan kerajaan untuk pendidikan awam. Ibu bapa di Jepun membelanjakan AS$12 bilion (RM37.8 bilion) untuk pendidikan tambahan anak mereka pada 2010, manakala di Singapura, jumlahnya ialah AS$680 juta (RM2.1 bilion) pada 2008. Di Hong Kong - negara yang mempunyai 85 peratus daripada pelajar sekolah menengahnya mengikuti kelas tambahan - syarikat swasta mengiklankan perkhidmatan “elit” itu di televisyen, akhbar dan di belakang bas. Namun, di sebalik populariti itu, pembelajaran tambahan menghasilkan hasil berbeza.


“Ia banyak bergantung kepada motivasi dan kemampuan tutor, bukan sekadar kesungguhan dan kemampuan pelajar.



“Di kebanyakan negara, seseorang boleh menjadi tutor kelas tambahan tanpa mendapat latihan dan keberkesanannya diragui,” kata laporan itu. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan